Soffian menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Demi upah RM3,000 setiap bulan, seorang lelaki warga emas sanggup menjadi penghantar bekalan rokok di kedai runcit sekitar Georgetown.

Tidak cukup itu, lelaki berusia 62 tahun itu turut menjadi penjaga sebuah rumah bertingkat di Jalan Bagan Serai di sini yang dijadikan tempat penyimpanan stok rokok seludup.

Bagaimanapun, kegiatan suspek sejak lima bulan lalu itu terbongkar selepas polis menahannya di stor rokok seludup tersebut pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek ditahan menerusi Op Kontraban yang dijalankan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 7 malam.

Jelas beliau, penahanan lelaki itu membawa kepada penemuan sejumlah karton rokok pelbagai jenama dan tidak berjenama tanpa cukai di bahagian tengah rumah berkenaan.

“Rampasan itu membabitkan sebanyak 1,984 karton rokok pelbagai jenama; 18,240 karton rokok tidak berjenama dan 364,800 batang rokok pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM275,000.

“Siasatan awal mendapati suspek sudah bekerja sebagai penghantar bekalan rokok di kedai runcit sekitar Georgetown sejak lima bulan lalu dengan upah yang diterima sebanyak RM3,000 sebulan.

“Selain itu, dia juga menjadi penjaga rumah yang dijadikan tempat penyimpanan stok rokok tidak bercukai itu,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut hari ini.

Tambah Soffian, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan sama ada wujud penglibatan orang ketiga dalam kegiatan itu atau sebaliknya.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 116C (2) Akta Kastam 1967.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” kata Soffian. – MalaysiaGazette