Pekerja buruh binaan warga asing beratur bagi membuat saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 313,014 permohonan pekerja warga asing telah diterima membabitkan sektor perkilangan (193,346), perkhidmatan (48,119), perladangan (36,950), pembinaan (27,331), pertanian (7,248) dan perlombongan & pengkuarian (20) setakat semalam.

Permohonan oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing telah mula dibuka pada 15 Februari 2022.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, berkata, permohonan yang diterima ini telah diproses secara berperingkat dan kelulusan bagi permohonan tersebut telah mula diberikan.

Menurutnya, ada juga majikan yang menghadiri temuduga tapi gagal disebabkan oleh dokumen yang tidak lengkap seperti gagal mengemukakan dokumen asal dan tiada penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja bagi lokasi cawangan yang dimohon.

”Oleh itu, saya sekali lagi mengingatkan para majikan agar mengemukakan permohonan lengkap bagi mengelakkan daripada kegagalan semasa proses temuduga.

”Pihak majikan boleh menggunakan khidmat Agensi Pekerjaan Swasta (APS), namun perlu dengan pengetahuan dan kebenaran majikan itu sendiri.

”Pihak majikan juga disaran untuk menggunakan khidmat APS yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 yang sehingga kini berjumlah 501 APS berlesen bagi kategori C,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, mana-mana APS yang didapati menyalahguna atau terlibat dengan salah laku dalam permohonan pekerja asing ini boleh diadu ke Jabatan Tenaga Kerja di talian 03-8886 5192. – MalaysiaGazette