Pewakilan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Hayazi Azizan bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ,17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Pergerakan Pemuda UMNO peringkat akar umbi terutama di Kedah tidak dahaga projek besar atau wang ringgit dalam meneruskan perjuangan parti.

Sebaliknya, mereka mahu perhatian daripada pucuk pimpinan parti supaya tidak merasakan diri diabaikan oleh kepimpinan parti.

Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Hayazi Azizan berkata, kebanyakan ketua pemuda di negeri itu tidak berpendapatan besar kerana ada antaranya bekerja sebagai petani yang menanam padi.

“Saya mahu nyatakan kepada pimpinan di atas, sekali sekala WhatsApplah kepada ahli akar umbi tanya khabar. Tanya macam mana anak sekolah, sudah bayar yuran atau belum.

“Sekali sekala sahaja saya minta beri perhatian, bukan sepanjang masa pun. Perhatian ini sekurang-kurangnya dapat melegakan akar umbi dan menambahkan semangat perjuangan mereka,” katanya dalam perbahasan di persidangan Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hayazi turut mengingatkan pemimpin dan ahli parti di negeri yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) agar bekerja keras untuk bangkit kembali.

Katanya, tidak perlu sibuk bercakap mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor.

“Jangan bicara (bercakap) soal kemenangan negeri lain, fikir di negeri kita yang kalah ini dahulu, macam mana nak menang.

“Yang bertelagah, kena berbaik-baik. Jangan beri peluang kepada parti lawan yang sentiasa mahu tengok kita lemah, untuk mereka tekan dan pastikan kita kalah dalam PRU akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast