KUALA LUMPUR – Tiada alasan lagi untuk melengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apatah lagi ketika seteru politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan lemah.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, PRU-15 perlu diadakan pada tahun ini dan bukan tahun hadapan dengan memanfaatkan semua kelemahan pembangkang.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting bahawa masanya (PRU-15) sekarang dan bukan tahun hadapan.
“PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak.
“Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 kerusi dari 14. PN pula dalam semua PRN lepas, hanya bergantung kepada jentera Pas dan tidak menjadi pesaing yang handal lagi digeruni.
“Di Johor, PN telah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi. Memanfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh kita ini.
“Menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah. Strike while your enemy is weak, strike while the iron is hot’ katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam ini.
Kata Mohamad, tindakan UMNO-BN melengahkan PRU-15 hanya membuka potensi kepada kebangkitan pembangkang sekaligus hanya mengulangi langkah sumbang parti itu pada PRU-14 lalu.
“Persefahaman politik pembangkang adalah sangat bercelaru. Semua berlumba dengan cita-cita sendiri. Bagai enau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing.
“Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya ‘struktur’. Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman. Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan BN.
“Ketidaksepaduan pembangkang adalah ‘strategik kepada UMNO’. Inilah masanya kita pantas memintas saat mereka berpecah dan bertelagah,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan sewaktu pandemik Covid-19 adalah pilihan terbaik untuk melakukan PRU-15 dan ia terbukti dalam beberapa pilihan raya sebelum ini yang memenangkan BN.
“Pelbagai pilihan raya semasa pandemik telah berlangsung dengan berjaya dan teratur. Maka tiada alasan untuk kita melengahkan PRU-15. Malah menganjurkan PRU sewaktu pandemik adalah pilihan terbaik.
“Semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette