KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan supaya lebih komited sebagai pembuat polisi supaya tidak lagi berdolak dalih menetapkan tarikh pelaksanaan gaji minimum RM1,500 .
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, sehingga kini hanya kenyataan mengenai gaji minimum dikeluarkan namun pelaksanaannya belum menjadi kenyataan.
“Sampai bila hendak cakap tunggu bulan depan, hujung tahun dan sebagainya? Kenapa tidak ada langsung tarikh rasmi di umum? Apakah anda hendak tunggu pilihan raya lagi untuk guna pancing undi?,” katanya dalam kenyataan sambil mendakwa Kementerian Sumber Manusia (KSM) seperti main tarik tali.
Hishamuddin mengulas kegagalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menjawab soalan tarikh pelaksanaan gaji minimum pada persidangan dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, usaha yang sedang dilakukan oleh KSM dengan menyatakan pelaksanaan gaji minimum akan dilakukan dalam masa terdekat tidak memadai ketika rakyat bergelut dengan kehidupan masing-masing.
Hishamuddin berkata, jika mahu menangguhkan kenaikan gaji minimum maka kerajaan perlu mengambil tindakan adil dengan menangani masalah kenaikan harga barangan. – MalaysiaGazette