Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 kali ini jelas sebagai PAU Pilihan Raya Umum (PRU), kata Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Beliau berkata, rata-rata para perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di negeri-negeri bercakap dan membincangkan isu PRU-15 selepas Barisan Nasional (BN) menang di  Johor dan Melaka baru-baru ini.

“Saya mengamati ucapan perasmian Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) semalam, mendengar isi bahas jurucakap negeri dari pagi tadi sampai sekarang muncul satu tema yang bagi saya agak jelas iaitu PAU kali ini adalah PAU PRU.

“Kemuncak kepada semua yang telah berlaku selama empat tahun, tiba-tiba kita ke saat ini, perkumpulan minda dan penggerak parti menyusun atur langkah yang akhirnya untuk menuju kemenangan parti yang tergendala.

“Sudah tentu segala onak duri yang kita lalui semua, luka calar badan dialami di ambang semboyan nak ditiup ini, kita nak masuk medan pertempuran untuk menang bukan untuk cuba nasib,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Pergerakan Pemuda UMNO petang ini.

Shahril berkata, UMNO kalau hendak menang mesti dengan keyakinan dan bukan teragak-agak.

Katanya, kemenangan yang UMNO cari kali ini ialah kemenangan mutlak untuk parti kembali memerintah negara.

“Kalau nak menang, kita kena hentikan sindiran dan serang sesama kita. Ambil iktibar, kekalahan Pakatan Harapan (PH) sehingga dapat memerintah selama 22 bulan disebabkan kerosakan dalaman parti itu.

“PH tu dah menang tetapi dia jatuh sebab rosak dalaman. Kita ini belum menang lagi sudah ada nak jatuhkan sesama sendiri.

“Penuh dengan bisik-bisik, momokan, takutkan orang dengan teori sehingga masing-masing nak bersuara pun takut,” katanya lagi.

Beliau berkata, itu bukan cara Pergerakan Pemuda dan kalau hendak menang kerana semua dalam parti dan selagi mereka tidak lompat, selagi tidak mengkhianati parti, semua mereka adalah aset parti.

Begitu juga, katanya, yang ada jawatan, tidak ada jawatan menteri, timbalan menteri dan tidak ada apa-apa dalam kerajaan, semuanya aset parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast