Gagal mendapatkan perakuan penginapan antara kesalahan dikesan JTK menerusi Ops Banteras di sekitar Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Bukan saja gagal mematuhi kehendak gaji minimum malah kudrat pekerja dikerah lebih 12 jam.

Itu antara kesalahan dikesan dalam kalangan majikan menerusi Ops Banteras yang dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang di sekitar Tasek Gelugor semalam.

JTK negeri dalam satu kenyataan berkata, Ops Banteras yang dilaksanakan itu memfokus kepada membanteras elemen buruh paksa melalui penguatkuasaan akta-akta yang dikuatkuasakan oleh JTK dan juga agensi yang berkaitan termasuk Akta ATIPSOM 2007, Akta 446 dan Akta Kerja 1955.

Katanya, hasil pemeriksaan menerusi operasi itu membawa kepada pendedahan majikan mengabaikan pelbagai peraturan yang ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Antara kesalahan yang dikesan adalah di bawah Perintah Gaji Minimum 2020 iaitu majikan gagal mematuhi kehendak gaji minimum RM1200, gagal menyimpan daftar pekerja, salinan kontrak perkhidmatan gagal diberikan kepada pekerja, waktu bekerja melebihi 12 jam sehari dan gagal melaporkan penggajian pekerja asing.

Keadaan tempat tinggal yang disediakan majikan tidak mematuhi Akta 446.

“Selain itu, ada majikan dikesan gagal membuat permohonan untuk mendapatkan Perakuan Penginapan namun menyediakan penginapan kepada 14 orang pekerja tempatan dan warga asing yang terdiri dari Laos, Indonesia serta Nepal.

“Kita akan buka kertas siasatan terhadap majikan tersebut tambahan pula mereka didapati gagal mematuhi kehendak minimum penginapan di bawah Peraturan Akta 446,” katanya hari ini.

Operasi Bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) Jabatan Imigresen Malaysia dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Tambah kenyataan itu, dalam operasi sama, KKM turut mendapati majikan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Bagi kesalahan itu, tindakan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.

“JTK akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan keharmonian industri perburuhan berterusan termasuk membanteras elemen buruh paksa dan pemerdagangan orang yang boleh menjejaskan menjejaskan imej negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast