Tun Dr Mahathir Mohamad Parti Pejuang Tanah Air
Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menolak kemungkinan akan bergabung dengan parti-parti lain untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Menurut Pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad, cadangan itu telah disuarakan oleh beberapa parti pembangkang.

Mereka menyedari kesan buruk perpecahan dalam beberapa pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu.

“Ada kemungkinan. Cadangan disuarakan beberapa parti pembangkang supaya tidak berpecah kerana jelas sekali berpecah menyebabkan kita kalah. Bukan sebab kita kurang sokongan.

“Sebenarnya parti yang menang ini BN hanya mendapat 35 peratus sahaja daripada undi dalam PRN ini. Tetapi dengan 35 peratus mereka menguasai dua pertiga dan mereka berhak pinda Perlembagaan negeri.

“Jadi kita dapati ini adalah kerajaan minoriti tetapi oleh kerana perpecahan dalam kalangan parti lawan, mereka telah menjadi parti besar yang mendapat majoriti dua pertiga yang berkuasa penuh,” kata Dr. Mahathir.

Tambahnya cadangan itu turut disuarakan oleh ahli parti Pejuang sendiri.

Bagaimanapun, Pejuang akan melakukan kajian yang mendalam terlebih dahulu kerana terdapat kesan buruk yang akan ditimbulkan daripada kerjasama berkenaan.

“Itu antara cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli dan ini perlu dikaji dengan mendalam kerana dulu kita tak ada kerjasama dengan parti-parti lain, kerana kesan buruk daripada kerjasama,” kata Dr. Mahathir dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat mingguan Pejuang di Yayasan Perdana yang turut dihadiri Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mesyuarat itu antaranya membincangkan faktor kekalahan parti dalam PRN Johor.

Dalam pilihan raya itu, Barisan Nasional menang besar dengan menguasai 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) sementara Pejuang tewas teruk dengan 42 calonnya kehilangan deposit.

Sementara itu Dr. Mahathir berkata, Pilihan Raya Umum (PRN) ke-15 tidak seharusnya diadakan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, rakyat masih belum bersedia untuk menghadapi PRU tersebut dan jika diadakan dalam masa terdekat boleh menyebabkan pengundi membuat pilihan yang salah.

“Saya berpendapat kalau kita ada pilihan raya dalam keadaan yang mana seluruh rakyat tidak bersedia cuma orang tertentu sahaja gembira dan ambil bahagian.

“Kita akan mendapat keputusan yang tidak baik bagi negara. Sebab itu masa perlu diberi  supaya rakyat khususnya akan mempunyai masa untuk mereka menimbang baik-baik tentang apa yang mereka lakukan,” kata Dr. Mahathir.

Sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan  merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 dua hari lalu mahu PRN-15 dilakukan segera.

Menurutnya, ia perlu diadakan tahun ini memandangkan pihak lawan sangat lemah ketika ini. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ambil kesempatan ketika orang lemah . Taktik kepentingan diri sendiri . Bukan untok rakyat umum . Akibatnya negara akan tergadai oleh manusia yang lebihkan dirinya dari orang lain .

Comments are closed.