Irfan Bakti.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui permulaan musim 2022 sungguh mencabar apabila terpaksa berdepan penundaan perlawanan sekali lagi susulan penularan Covid-19.

Seramai 18 pemain dan pegawai pasukan itu telah dijangkiti Covid-19 sejak kelmarin, sekali gus menyaksikan perlawanan Kuching City menentang Terengganu FC II malam ini dan satu lagi berdepan Selangor FC 2 pada 27 Mac terpaksa ditunda.

Irfan yang merupakan salah seorang yang dijangkiti Covid-19 tidak menolak situasi ini benar-benar menguji mental dan fizikal para pemain memandangkan pasukan masih belum menghadapi sebarang perlawanan kompetitif sejak aksi sepak mula pada awal Mac.

“Mula-mula pada awal Mac apabila tunda perlawanan, kita akur cuma apabila ramai lagi positif, nak buat macam mana terpaksa terima.

“Kami pun sebenarnya sudah bosan apabila tiga bulan hanya berlatih dan tak boleh nak mula perlawanan sebenar disebabkan Covid-19.

“Jadi memang mencabar apabila kita dah berlatih dan sekarang positif pula termasuklah saya cuma kami pun tak sangka boleh positif sebab memang tiada gejala yang teruk pun.

“Tetapi, mahu atau tidak kena terima dan saya akan pastikan kami tetap melakukan rutin latihan dalam talian manakala yang mana tidak dijangkiti, berlatih seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali Terengganu FC II, Badrul Afzan Razali pula menyifatkan pasukan terpaksa akur dengan penundaan ini meskipun ini adalah penundaan kali kedua di mana perlawanan pertama membabitkan aksi menentang UiTM FC yang sepatutnya berlangsung pada 5 Mac lalu.

Dengan penularan Covid-19 yang berlaku ketika ini, Badrul tetap mengingatkan kepada para pemain lain agar sentiasa berwaspada dan fokus untuk aksi menentang Perak FC pada 25 Mac ini.

“Kali kedua tangguh ni memang ada rasa sedih juga la sebab kami pun dah bersedia dan pemain-pemain pun kena akur dengan situasi ini.

“Kita pun tidak boleh nak agak dengan situasi Covid-19 sekarang macam-macam boleh jadi dan sekarang pasukan kena sentiasa jaga diri sebab tidak mahu melarat.

“Kami pun ada dalam dua hingga tiga orang juga yang positif tetapi yang lain kena tetap berhati-hati dan kita fokus perlawanan pada minggu hadapan”, jelasnya.

Malaysian Football League semalam mengumumkan penundaan perlawanan membabitkan Kuching City FC dan Terengganu FC II yang sepatutnya berlangsung pada malam esok dan tarikh baharu akan diumumkan kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast