Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika meninjau kesediaan lapangan terbang terhadap pembukaan semula sempadan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 19 MAC 2022.

SEPANG – Kerajaan akan memastikan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini berjalan lancar, selamat, cekap dan tanpa karenah birokrasi rumit.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memastikan Malaysia cukup bersedia untuk menjadi destinasi pelancongan yang selamat untuk pelancong.

”Banyak syarat yang perlu diselesaikan sewaktu praberlepas, jadi selepas ini tidak akan ada lagi kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti sebelum ini” kata Khairy dalam taklimat pembukaan sempadan negara di KLIA hari ini.

Taklimat berkenaan turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Keadaan di kaunter pemeriksaan bagasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 19 MAC 2022.

Katanya, mulai 1 April juga, KKM akan menutup kaunter ujian saringan RT-PCR yang dikendalikan dua tahun lebih yang kita berikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

“Tidak ada lagi kaunter PCR selepas ini. Pengembara Malaysia atau mana-mana pengembara yang nak masuk ke Malaysia perlu melakukan RTK-Antigen profesional atas kos sendiri,” katanya.

Perincian lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan negara termasuk udara dan laut akan diumumkan pada Selasa ini.

Sementara itu, Ka Siong berkata, kerajaan cukup berhati-hati dalam proses pembukaan sempadan untuk memastikan segala urusan berjalan lancar.

Katanya, kali ini, kerajaan dalam keadaan berhati-hati dan segala urusan harus dilakukan dengan baik dan dipermudahkan.

Menurutnya, semua syarikat penerbangan telah diminta memastikan setiap penumpang memuat turun aplikasi MySejahtera kerana ia satu prasyarat kepada pengembara untuk masuk ke negara ini, sekali gus mengurangkan kesesakan di lapangan terbang. – MalaysiaGazette