Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan Kaunseling dari Fakulti Pembangunan Manusia, Andi Hussaini Mapanyukri mewakili pelajar baharu membaca ikrar di hadapan pengurusan tertinggi universiti.

KUALA LUMPUR – Pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disaran mengamalkan Budaya UPSI “BAIKK” iaitu Bangga (B), Adab (A), Ilmu (I), Keluarga (K) dan Kreativiti dan Inovasi (K) bagi memantapkan penampilan mereka.

Berucap pada Majlis Ikrar pelajar baharu sesi 2021/2022 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, budaya BAIKK perlu difahami dan dihayati agar dapat mencorakkan
personaliti pelajar supaya cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga sahsiah diri.

Mengharungi cabaran kerjaya masa kini, katanya, pelajar perlu memiliki nilai-nilai murni seperti berasa bangga sebagai pelajar UPSI supaya dapat mencipta kecemerlangan diri sebelum bergraduat.

”Pelajar juga tidak harus melupakan harapan keluarga dari pelbagai latar belakang dan ia akan mendorong untuk tekun dalam mengajar ilmu di universiti,” katanya.

Katanya, pelajar juga perlu aktif berkreatif dan inovatif hasil bagi memanfaatkan pembelajaran bersama akademia UPSI yang kebanyakan adalah pakar-pakar dalam program pengajian.

Seramai 665 pelajar baharu selesai menjalani program orientasi yang melibatkan tujuh buah fakulti iaitu Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Teknikal dan Vokasional, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan dan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

Md Amin berkata, walaupun Program Orientasi kali ini disambut dalam suasana yang sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), namun ia tidak menjadi halangan untuk pelajar merasai kemeriahan Program Orientasi Pelajar setelah sekian lama dijalankan secara dalam talian.

Beliau yang turut menyantuni seorang pelajar Orang kurang Upaya (OKU) yang berasal dari Melaka, Faizatul Iwani Mohamad Alwi memberi kata-kata semangat agar dapat meneruskan pembelajaran di universiti dengan baik sehingga tamat pengajian.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berharap semua pelajar baharu memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh universiti dalam pembelajaran untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast