Novan bersama ahli Persatuan Pengusaha Lori Johor di sidang akhbar dekat Bakar Batu mengharapkan kerajaan menyediakan pusat saringan PCR di Tambak Johor dan LinKedua untuk memudahkan mereka.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu menyediakan pusat pemeriksaan saringan Covid-19 di Tambak Johor dan LinKedua khusus untuk pemandu lori dari negara ini yang masuk ke Singapura.

Presiden Persatuan Pengusaha Lori Johor, Novan Hing berkata, kemudahan tersebut perlu memandangkan republik itu mengarahkan semua pemandu lori dari negara ini berbuat demikian berkuat kuasa 24 Mac ini sebelum dibenarkan masuk.

“Kami hanya diberitahu peraturan ini pada minggu lalu namun sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Kerajaan Malaysia berkenaan perkara itu.

“Sebelum ini, semua pemandu lori yang memasuki Singapura perlu membuat ujian RT-PCR (PCR) selepas mereka masuk ke negara berkenaan dengan kos tersebut ditanggung Kerajaan Singapura.

“Namun arahan terbaharu yang kami terima, semua pemandu lori perlu membuat sendiri ujian berkenaan dengan setiap ujian terpakai hanya untuk tempoh dua hari,” katanya dalam sidang akhbar di Bakar Batu di sini sebentar tadi.

Pelaksanaan prosedur itu, jelasnya sudah tentu akan meningkat kos pengusaha lori.

Dakwanya, peraturan itu juga akan mengganggu proses penghantaran barang memandangkan mereka perlu ke klinik atau hospital terlebih dahulu untuk membuat ujian berkenaan.

“Kami berharap kerajaan dapat membantu memudahkan pelaksanaan prosedur baharu ini iaitu dengan membuka pusat pelaksanaan ujian saringan di kedua-dua sempadan iaitu di Tambak Johor dan LinKedua,” katanya.

Novan turut mengharapkan kos pelaksanaan ujian berkenaan dapat ditanggung  kerajaan bagi memastikan tiada beban tambahan dikenakan terhadap pengusaha lori dan juga pelanggan.

Selain itu beliau turut menaruh harapan Kerajaan Singapura dapat menangguhkan pelaksanaan prosedur berkenaan.

Bagi pemandu lori, Mohd Fadhli Daud, 50, berkata, prosedur baharu yang dikenakan akan mengganggu kelancaran penghantaran barangan ke negara berkenaan.

Mohd Fadhil Daud

“Ini kerana kebiasaannya pemandu lori masuk ke Singapura awal pagi sebelum klinik dibuka, jadi proses membuat ujian itu sendiri akan mengganggu jadual perjalanan lori.

“Oleh itu sebaiknya kerajaan sediakan tempat ujian di kedua-dua pintu sempadan untuk memudahkan proses itu dilaksana, selain membantu menanggung kos berkenaan,” katanya yang sudah menjadi pemandu lori rentas sempadan sejak 2005.

Tambahnya, anggaran kos tambahan bagi setiap pemandu adalah sekitar RM1,000 sebulan apabila mereka diperlukan melakukan ujian berkenaan setiap tiga kali seminggu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast