Bubu Naga: Foto: Facebook Persatuan Pengguna Pulau Pinang

KANGAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia  (APMM)  Zom Maritim Kuala Perlis merampas 46 bubu naga di kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika dari barat pantai Kurung Tengar dekat sini petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu berukuran lebih kurang 10 meter panjang itu dikesan pada 5.15 petang menerusi rondaan Op Aman.

“Pasukan bot ronda APMM melihat kain-kain berwarna merah mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang-pancang kayu disyaki penanda bubu naga dipercayai dipasang oleh individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.

“Berikutan itu, pasukan bot ronda APMM melakukan pemeriksaan dan menemukan banyak bubu naga ditinggalkan di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua bubu naga yang dianggar bernilai RM3,680 itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan,” katanya.

Mohd Hashim berkata, penggunaan bubu naga diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast