SHAH ALAM – DAP mahu keluarga pembantu politik DAP, mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009 turut dibayar sebanyak RM1.5 juta.
Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan jumlah ex-gratia yang diterima oleh keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang maut dalam rusuhan di sebuah kuil pada tahun 2018.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jumlah yang sama perlu diberikan kepada semua individu yang mati ketika berada dalam tahanan polis.
“Menyeru kepada kerajaan untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan Muhammad Adib, Teo Beng Hock dan mereka yang mati dalam tahanan.
“DAP mengalu-alukan pembayaran ganti rugi sebanyak RM1.5 juta ini kepada keluarga Muhammad Adib.
“Tetapi pembayaran yang sama diberikan kepada keluarga Teo beng Hock dan juga mereka yang mati dalam tahanan,” kata Guan Eng dalam ucapan di Kongres Kebangsaan DAP kali-17 hari ini.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam, Shah Alam yang menempatkan ibu pejabat lama SPRM Selangor, di mana sebelum itu mendiang ditahan semalaman untuk disoal siasat.
Pada 2016 Jabatan Peguam Negara mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian Beng Hock yang juga pembantu kepada seorang Exco negeri Selangor dari DAP ketika itu Ean Yong Hian Wah.
Beng Hock ketika itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes rasuah yang dikatakan melibatkan beberapa pemimpin pembangkang.
Sementara Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah ketika bertugas dalam rusuhan di sekitar Kuil Maha Mariamman pada 27 November 2018.
Anggota bomba itu meninggal dunia pada 17 Disember tahun yang sama ketika mendapatkan rawatan.
Kerajaan membayar ‘ex-gratia’ berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada 29 November 2021.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, kes kematian anggota bomba itu, kini sedang disiasat secara menyeluruh dan telus serta diberikan pembelaan sewajarnya.-MalaysiaGazette