TEMA untuk Hari Wanita Antarabangsa tahun ini Saksama Bersama atau Break the Bias tidak mungkin datang pada masa yang lebih tepat.

Ini kerana kesaksamaan jantina merentas industri sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik  (STEM) masih kurang dan isu ini terus mendapat perhatian global.

Menurut data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) lebih 70 penyelidik dalam STEM adalah lelaki dan wanita pula kurang 30 peratus.

Begitu juga di peringkat pengajian tinggi hanya 30 peratus pelajar perempuan memilih bidang STEM.

Memandangkan mereka yang bekerja dalam bidang STEM memperoleh pendapatan dua pertiga lebih tinggi berbanding bidang lain maka peluang yang sama rata perlu diberikan kepada wanita untuk meneruskan kerjaya dalam STEM.

Peluang ini dilihat dapat membantu mengecilkan jurang gaji antara jantina.

Ia juga dapat menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SGD 5) PBB iaitu ‘mencapai kesaksamaan gender dan memperkasakan semua wanita dan gadis’.

Jadi contoh teladan

Bagi meningkatkan penglibatan wanita dan pelajar perempuan dalam STEM, Profesor Madya Institut Penyelidikan dalam Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia, Dr Oon Chern Ein menekankan kepentingan peranan model kepimpinan wanita untuk dijadikan inspirasi.

“Apabila berdepan dengan cabaran, kita lebih cenderung merujuk kepada contoh teladan yang sedia ada untuk mendapat nasihat dan inspirasi agar dapat maju dalam kerjaya”, katanya.

Chern Ein merupakan penerima anugerah L’Oreal-UNESCO For Women in Science National Fellowship yang berprestij pada 2015 bagi kajian terapi sasaran molekul untuk kanser yang dilakukannya.

Sementara Dr. Sam Gooneratne, pensyarah kanan Sekolah Pengkomputeran, Kejuruteraan, Teknologi Digital, Teesside University di United Kingdom (UK) berpendapat, adalah mustahak bagi wanita dalam bidang STEM menonjolkan diri supaya dapat dilihat terutamanya oleh generasi muda.

Ini menjadikan mereka lebih mudah dikenalpasti khususnya apabila perlu dihubungi untuk mendapatkan bimbingan atau nasihat.

“Kita perlu menunjukkan berapa ramai sebenarnya antara kita yang ada di luar sana agar ia menjadi sesuatu yang normal – bahawa terdapat wanita dalam STEM dan ramai antara kita yang aktif berkecimpung dalam bidang ini,” katanya.

Chern Ein dan Sam berkata demikian dalam webinar bertajuk Raikan Perbezaan: Wanita dalam STEM sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac.

Mereka adalah sebahagian daripada panel tujuh tetamu jemputan dari Malaysia dan UK  yang berkongsi tentang perjalanan dan pengalaman mereka dalam kerjaya STEM.

Anjuran bersama British Council, Science Media Centre (SMC) Malaysia dan The Petri Dish, webinar itu bertujuan menampilkan contoh kepimpinan wanita dalam STEM dan mendedahkan peluang pengajian dalam bidang STEM.

Sesi dalam talian selama satu jam itu dikendalikan oleh Pengasas Bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin.

Kepimpinan wanita

Rata-rata ahli panel menekankan keperluan untuk penglibatan lebih ramai wanita dalam STEM.

“Kami perlukan lebih ramai wanita dalam STEM untuk menolak mitos bahawa wanita secara genetiknya tidak mampu menyumbang kepada STEM,” kata Dr Dalia Chakrabarty, pensyarah kanan Statistik dari Brunel University London.

Dalia  berjaya membangunkan kaedah statistik baharu dalam kajiannya mengenai jisim graviti lohong hitam di galaksi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Bioteknologi Negara, Prof. Datuk Raha Abdul Rahim pula berkongsi pengalaman belajar di luar negara yang telah menyumbang kepada pembangunan peribadi serta kerjaya beliau.

Pengalaman itu membolehkan  Raha mengunapakai pengetahuan akademik dan kemahiran praktikal dalam kehidupan sebenar.

“Pengalaman saya di UK telah membuka minda saya untuk berfikir di luar kotak. Sekembalinya saya ke tanah air, saya menjadi seorang individu yang lebih baik daripada sebelum saya sambung belajar di luar negara,” katanya.

Pendedahan global

Webinar yang berlangsung itu juga dianjurkan sempena pelancaran Biasiswa Wanita dalam STEM yang ditaja oleh British Council.

Biasiswa terbabit diberi kepada pelajar untuk meneruskan pengajian dalam ijazah sarjana atau ‘fellowship’ akademik awal, dalam program STEM di universiti-universiti terkemuka di UK

Seramai 15 pelajar termasuk empat orang dari Malaysia telah mengembara ke UK tahun lalu untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana mereka dalam subjek STEM selepas terpilih menerima biasiswa tersebut.

Mereka merupakan sebahagian daripada kohort pertama Biasiswa Wanita dalam STEM British Council.

Pelajar yang terpilih adalah Debbie Ann Loh yang menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Kesihatan Awam Antarabangsa di Universiti John Moores Liverpool dan Jaiswarry Sundaram dalam bidang Sarjana Industri Bioteknologi di Universiti John Moores Liverpool.

Juga terpilih Nurimanina Najwa Shahrin melanjutkan pengajian dalam Sarjana Patobiologi Akuatik di Universiti Stirling dan Ilyana Hassya Azmannizam memilih Sarjana Masa Depan Bumi: Persekitaran, Komuniti, Hubungan di Universiti Glasgow.

Tahun ini bilangan biasiswa yang ditawarkan di Asia Tenggara meningkat dua kali ganda.

Sebanyak 29 biasiswa daripada enam universiti UK ditawarkan untuk calon-calon pelajar dari Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Penerima anugerah biasiswa akan mendapat sokongan kewangan secara komprehensif termasuk yuran pengajian, elaun bulanan, visa, kos perjalanan dan perlindungan kesihatan dengan sokongan khas untuk ibu.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Biasiswa Wanita dalam STEM, sila layari https://www.britishcouncil.org/study-work-abroad/in-uk/scholarship-women-stem.

Su Lin

Tan Su Lin adalah Pengasas Bersama Science Media Centre Malaysia.