Reaksi sedih Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa mengumumkan peletakan jawatan ketika berucap pada Kongres Ke-17 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

SHAH ALAM – Pemimpin kanan DAP Lim Guan Eng hari ini membayangkan tidak akan ada kerjasama dengan Perikatan Nasional, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya akan datang.

Dalam sidang akhbarnya buat kali terakhir sebagai Setiausaha Agung DAP, Guan Eng begitu serius menjawab soalan media yang bertanya mengenai kerjasama parti yang mahu menjatuhkan Barisan Nasional dan UMNO.

“Tadi sebut pakatan pembangkang, Perikatan bukan parti pembangkang. Kita nak menyatupadukan semua parti pembangkang

“Sekiranya kita bekerjasama dengan pihak yang telah tikam belakang apakah jaminan yang kita tidak akan ditikam lagi? Sedangkan kita telah kena satu tikaman nak kena sekali lagi?

“Seperti yang saya telah sebut kalau kali pertama itu sahaja, kalau kali kedua rela ditipu oleh dia sekali lagi, itu salah anda sendiri. Janganlah terjerumus dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Beliau turut dilontarkan soalan sama ada DAP akan melakukan rundingan kerjasama dengan Pejuang yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin oleh Datuk Seri Shafie Apdal.

Kedua-dua mereka merupakan rakan sekutu DAP dan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Andakah anda akan berunding dengan Pejuang dan Warisan?” tanya wartawan.

“Berunding apa?

“Berunding mengenai pilihan raya akan datang.”

“Seperti yang saya tanya, berunding apa?”

“Rakan kongsi.”

“Rakan kongsi? Rakan kongsi bagaimana? Saya tidak mahu komen. Objektif Pejuang adalah berlainan. Anda nak tahu sama ada kami boleh bersama sekali lagi?” tanya Guan Eng dalam sidang akhar selepas menyampaikan ucaptama Kongress DAP.

Sebelum itu dalam ucapannya, Guan Eng mengingatkan ahli parti bahawa mereka tidak boleh bekerjasama dengan pihak yang telah mengkhianati DAP dan perjuangannya.

“Pemimpin dan ahlinya berdiri atas prinsip dan kita menang atas prinsip. Mandat sah Pakatan Harapan ini telah dirompak pada awal tahun 2020 daripada rakyat dengan pengkhianatan ahli parlimen oportunis yang ditawarkan jawatan dan dana.

“Atas sebab ini, kita tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional yang mengkhianati kita. Kalau kita ditikam belakang sekali, malulah mereka.

“Jika kita benarkan mereka menikam kita dari belakang buat kali kedua, malulah kita,” kata Guan Eng.

Beliau menangis ketika menyampaikan ucapan yang mengenangkan kepayahan yang dilalui DAP.

“Saya tahu kita kecewa dengan Langkah Sheraton yang menyebabkan kita kehilangan kuasa dalam kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri selepas kemenangan bersejarah kita dalam pilihan raya umum 2018, serta keputusan PH yang mengecewakan di Melaka, Sarawak dan baru-baru ini di Pilihan Raya Johor.

“Kita harus mengambil tahu bahawa keadaan kita ketika berada dalam pembangkang sebelum 2008 lebih teruk,” katanya.

Guan Eng akan melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP iaitu jawatan paling tinggi dan paling berkuasa dalam parti selepas memegangnya selama tiga penggal.

Perlembagaan DAP tidak membenarkan seseorang memegang jawatan terbabit lebih daripada tiga penggal.

Jawatan baharu Guan Eng akan diketahui petang ini selepas perwakilan membuat pengundian. – MalaysiaGazette