IMTN bond Najib Razak Abank TIA Terengganu Investment Authority Jho Low
Tan Sri Ismee Ismail

KUALA LUMPUR – Prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersambung hari ini dengan saksi ke-13, Tan Sri Ismee Ismail disoal balas  pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak.

Peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memulakan sesi soal balas kepada bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB banyak menyentuh tentang penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Selang seli Muhammad Shafee turut bertanya tentang kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low yang sudah ‘duduk’ dalam TIA sebelum syarikat pelaburan strategik itu ditukar nama kepada 1MDB pada 2009.

Ismee bersetuju dengan cadangan pembelaan idea TIA sebenarnya bukan datangnya dari Najib sebaliknya Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu yang bertujuan untuk memajukan ekonomi Terengganu.

TIA juga ketika itu merancang untuk membangunkan Pulau Bidong yang pernah menjadi tempat perlindungan pelarian Vietnam sekitar 70-an sehingga 90-an sebagai destinasi pelancongan.

Saksi juga mendedahkan dari awal perkenalnnya dengan Jho Low di Istana Terengganu, ahli perniagaan dalam buruan itu suka menggunakan nama Najib untuk semua perkara yang dilakukan olehnya.

Hari ini, Ismee juga mendedahkan dirinya tidak pernah nampak apa-apa aliran wang masuk hasil urus niaga penerbitan bon RM5 bilion Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) ke dalam akaun peribadi Najib yang juga didakwa telah diseleweng oleh Jho Low bernilai AS$113 juta atau lebih RM700 juta.

TIA telah mengambil pinjaman untuk mengeluarkan bon IMTN RM5 bilion namun kemudian didakwa rugi apabila dua syarikat telah membuat keuntungan rahsia melalui tersebut seperti dalam laporan media The Edge.

TIA memperoleh RM5 bilion dalam IMTN pada 2009 yang dijual dalam tempoh 24 jam kepada Aktis Capital, Country Group Securities dan Acme Time Pte Ltd.

Kemudian ianya dijual semula kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembekal insurans Prudential.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Shafee kemudian menunjukkan artikel The Edge tentang urus niaga dua syarikat itu selain menyoal adakah saksi tahu tentang penglibatan Najib dalam urus niaga serta keuntungannya.

SHAFEE: Sekarang saya hendak tanya sesuatu yang penting dan serius, saya amat hargai jika anda dapat berterus terang sahaja sebaik yang boleh. Kalau boleh ingat perincian lagi bagus.

Setakat inilah, adakah anda pernah lihat apa-apa wang keuntungan IMTN ini masuk ke dalam akaun Ambank iaitu akaun peribadi Datuk Seri Najib?

ISMEE: Tidak.

Ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa Kunyalam membantah sambil menyatakan dalam laporan berita itu turut di nyatakan bagaimana Najib dan anak tirinya, Riza Aziz mendapat pembayaran dari pihak tertentu.

Namun kata Muhammad Shafee, bayaran yang disebut telah masuk ke akaun Najib itu tidak ada kena mengena dengan bon IMTN sebaliknya wang yang masuk ke akaun beliau adalah derma dari Arab iaitu antara Feb 2011 sehingga Ogos 2013.

Manakala bon IMTN itu sebenarnya telah mula diseleweng oleh Jho Low sebelum tahun 2008 lagi dakwa Muhammad Shafee malah ada sejumlah transaksi juga telah masuk ke akaun keluarga Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

“Jho Low telah membayar rasuah kepada keluarga Zeti antara 2008 sehingga 2009. Ini pula telah dilaporkan sendiri dalam laporan penyiasatan Suruhanjaya Siasatan Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Kita di pembelaan mahu membuktikan wang kononnya milik 1MDB telah masuk ke dalam akuan peribadi anak guam kami sehingga didakwa dalam 25 pertuduhan penyewelengan dan penggubahan wang haram ini walhal wang masuk dalam akaun peribadi adalah adalah dari derma Arab bukan bon IMTN.

“Akaun AmBank milik Najib yang dikatakan telah menerima berbilion ringgit itu hanya dibuka pada 2011 dan langsung tiada kena mengena dengan bon IMTN,” dakwanya.

Ketika ini prosiding masih berjalan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ketika ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast