Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menyampaikan one off cek sumbangan bernilai RM3000 kepada usahawan yang juga mangsa banjir pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Shah Alam Convention Centre. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenakan pengecualian pelaksanaan gaji minimum RM1,500 kepada majikan dalam kalangan usahawan mikro.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, penangguhan itu perlu dibuat memandangkan keupayaan perniagaan usahawan mikro terbatas dan pendapatan tahunan terlalu rendah untuk membayar gaji minimum.

“Usahawan mikro ini berpendapatan tahunannya bawah RM300,000 dan mempunyai pekerja kurang dari lima orang.

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas, hampir 43,000 usahawan mikro terlibat kemudian banjir pula melanda, boleh dikatakan hampir 70 peratus usahawan mikro terjejas.

“Mereka ini baru nak bernafas, Kerajaan Prihatin hari ini memberikan sumbangan RM3,000 kepada usahawan-usahawan yang terlibat dalam banjir dianggarkan sehingga 16,000 orang seluruh negara.

“Kita telah minta kerajaan supaya mengecualikan (gaji minimum) dahulu kumpulan usahawan mikro,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Sabtu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam pada itu, Noh juga tidak menolak kemungkinan perniagaan yang dijalankan usahawan mikro boleh terjejas sekiranya kerajaan mewajibkan pelaksanaan gaji minimum pada 1 Mei ini.

“Kalau usahawan mikro dikenakan gaji minimum RM1,500 kepada pekerja mereka, adakah mereka mampu untuk bayar? Pendapatan mereka pun kalau kita lihat hanya sekadar cukup makan sahaja.

“Kerana itu Perdana Menteri minta Kementerian Sumber Manusia berbincang semula dengan Puskop untuk kita mencari jalan mengecualikan dahulu golongan usahawan mikro daripada wajib membayar gaji minimum kepada pekerja,” katanya.

Bagaimanapun Noh tidak menghalang mana-mana majikan yang berkemampuan untuk membayar gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa 1 Mei ini.

“Sekiranya ada usahawan-usahawan mikro yang mampu untuk membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerja-pekerja mereka, itu amat digalakkan.

“Kita tak mahu memaksa atau mereka yang tak mampu bayar, akhirnya mereka terpaksa juga bayar.

“Bila dikuatkuasakan bayar ini, akhirnya matlamat kerajaan untuk membantu dan membela nasib usahawan mikro mungkin akan terjejas apabila terpaksa membayar gaji minimum kepada pembantu mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette