LANGKAWI – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM671,000 bagi penyediaan perkhidmatan dua buah bot penambang untuk penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting di Langkawi, Kedah.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkhidmatan bot itu dikendalikan Koperasi Komuniti Kepulaun Tuba dan Selat Berhad (KOPTUBAS) sejak dua tahun lalu.
“Kita amat memahami kesusahan yang dialami penduduk di dua pulau tersebut sejak sekian lama”
“Kita mencari jalan penyelesaian menerusi inisiatif perkhidmatan bot penambang untuk kegunaan penduduk pulau-pulau tersebut berulang alik” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mahdzir, perbelanjaan perolehan dua buah bot berkenaan yang dibuat menerusi peruntukan di bawah Program Desa Lestari Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting
Beliau berharap perkhidmatan bot itu mampu menjana pulangan ekonomi kepada pihak koperasi menerusi perkhidmatan sewaan kepada pelancong-pelancong yang berkunjung ke Langkawi.
Perkhidmatan bot penambang yang berkapasiti 30 penumpang dikenali diberi BesTUBA itu menyediakan kekerapan tujuh perjalanan sehari. – MalaysiaGazette