Tuan Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di sini hari ini. menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam kepada Indah Water .Konsortium Sdn Bhd (IWK) di sini hari ini.

MELAKA – Melaka menerima loji rawatan kumbahan teknologi hijau termoden dan terbesar bernilai RM111 juta yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk pada masa depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, operasi Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam itu berupaya merawat sehingga 126,000 meter padu kumbahan sehari dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, kementeriannya yakin projek berkenaan mampu meluaskan perkhidmatan pembentungan di bandar-bandar utama kepada 85 peratus menjelang 2025.

“Loji menggunakan teknologi rawatan Extended Aeration (EA) dan mampu memastikan pelepasan kualiti efluen kumbahan yang sangat baik mencapai Standard A dan mematuhi Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan 2009).

“Kita juga akan guna semula air rawatan daripada loji ini yang mengaplikasikan teknologi hijau dalam rekaannya untuk dihantar ke kilang-kilang indusri bagi sistem penyejukan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Zaidi Atan dan Ketua Pengawai Ekskutif IWK Narendran Maniam.

Loji rawatan termoden dan terbesar di Melaka itu mula beroperasi sejak 13 Disember tahun lalu secara berperingkat dengan menggunakan peranti cekap tenaga selaras dengan inisiatif di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017 -2030.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya juga sedang mengadakan perbincangan lanjut bersama IWK dan syarikat air negeri seluruh negara untuk memperluaskan lagi penggunaan air rawatan daripada loji untuk kegunaan indusri kilang.

“Saya difahamkan tadi, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) adalah syarikat air negeri yang kedua selepas Selangor yang bersetuju mengambil manfaat daripada air kumbahan yang telah dirawat ini untuk kegunaan industri.

“Dengan adanya loji ini, semua 16 loji kumbahan kecil sedia ada sekitar Batu Berendam akan ditutup dan disambungkan kepada loji termoden ini bagi memudahkan pemantauan,” katanya.- MalaysiaGazette