MELAKA – Tiga sekawan berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin, awal bulan ini.

Tertuduh, Esa Muhamad Din, 58, Muhammad Zuhairy Borhan, 44 dan Muhammad Asri Ahmad Tamizi, 39 mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini

Berdasarkan kertas pertuduhan mereka didakwa dengan niat bersama mengedar heroin berat kasar 82 gram yang disenaraikan dalam di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan rumah tidak bernombor Lot 1057-2, KM 16 Kampung Ladang Kerubong, di sini, kira-kira jam 2 petang 8 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 25 April depan bagi mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast