Dr. Massila Kamalrudin

KUALA LUMPUR – Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu mulai semalam, 21 Mac 2022 sehingga 20 Mac 2025.

Pelantikan Massila sebagai Naib Canselor kelima UTeM bagi menggantikan Profesor Datuk Dr Raha Abdul Rahim yang telah tamat tempoh lantikannya.

Massila merupakan wanita kedua yang menerajui kepimpinan UTeM, sekali gus dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Beliau memulakan kerjayanya di UTeM pada tahun 2004 sebagai Tutor di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM.

Pernah menjawat beberapa jawatan pentadbiran antaranya sebagai Penyelaras & Pengurus, Centre of Excellence (CoE) UTeM (Mei 2014 hingga Mei 2017) dan Timbalan Dekan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (Jun 2017 hingga September 2020).

Massila mempunyai aspirasi dan strategi yang jelas untuk menyuntik perubahan positif dalam lanskap pentadbiran dan pengurusan UTeM serta memperkukuhkan aspek pembangunan institusi dan akademik UTeM sebagai sebuah Universiti Teknikal yang disegani dan terus dikagumi.

Dilahirkan pada 14 Ogos 1981 dan berasal dari Banda Hilir, Melaka, Massila mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003.

Beliau berjaya memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Perisian dari University of Wales Swansea, United Kingdom dan seterusnya memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada tahun 2011 dari The University of Auckland, New Zealand.

Susulan daripada sumbangan kepada universiti dan negara, beliau telah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan peringkat nasional dan global antaranya Malaysian Young Women Scientist 2020 oleh MINDS Malaysia.

Pihak UTeM mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini seterusnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan pula kepada Raha atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UTeM sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast