Keadaan sekitar yang semakin suram sejak pandemik Covid-19 melanda negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Istana Budaya yang dahulunya bergemerlapan dan meriah dengan pelbagai persembahan seni, kini dilihat sepi tidak berpengunjung.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, panggung berprestij yang terletak di Jalan Tun Razak itu juga seolah-olah seperti rumah kosong yang ditinggalkan.

Jika diamati, suasana terkini sekitar Istana Budaya bukan sahaja suram malah bangunan ikonik berbentuk sirih junjung itu juga mulai rosak teruk dan kelihatan usang terutamanya pada bahagian bumbung.

Keadaan sekitar yang dilihat semakin suram sejak pandemik Covid-19 melanda negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2022.

Sudah pasti semua mengerti, gara-gara pandemik Covid-19, segala persembahan teater dan konsert yang sepatutnya berlangsung perlu ditangguh atau dihentikan, tapi ia bukan alasan untuk Istana Budaya terus ditelan sepi.

Sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, terdapat program-program yang diterbitkan menerusi platform digital termasuk saluran Youtube namun ia dipercayai kurang menerima sambutan serta publisiti.

Sebilangan orang awam yang ditemui turut bersetuju Istana Budaya kini semakin hilang serinya.

Masing-masing melontarkan pendapat agar pihak-pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk mengembalikan semula kegemilangan Istana Budaya seperti sebelum ini.

Seorang kontraktor, Sabarudin Hamzah berkata, Istana Budaya sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri bagi menggamit pengunjung untuk menyaksikan pelbagai persembahan seni.

Sabarudin Hamzah. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2022.

Namun menurutnya, pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu telah memberi impak yang besar terhadap kesemua industri di negara ini termasuk aktiviti-aktiviti seni tanah air.

“Kalau lalu di Jalan Tun Razak ini memang suram sahaja nampak, mungkin kurang promosi kerana nak dibanding dahulu ia penuh dengan banner-banner besar yang dipasang setiap kali ada program di situ.

“Orang yang biasa makan di kawasan sekitar mesti tahu dahulu Istana Budaya ini meriah tapi kini dah jadi sunyi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sabarudin berpendapat, sekiranya promosi dibuat secara lebih agresif selepas ini, maka tidak mustahil Istana Budaya dapat mengecapi semula zaman kegemilangannya dan menarik lebih ramai pengunjung.

Tambahnya lagi, besar kemungkinan rata-rata pencinta dunia seni tahah air sudah mula merindui pengalaman untuk menyaksikan konsert dan persembahan selepas lebih dua tahun tidak bebas bergerak akibat pandemik Covid-19.

Wan Mohd Hanif Wan Mohd. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2022.

Sementara itu, seorang peniaga, Wan Mohd Hanif Wan Mohd berkata, kemeriahan Istana Budaya satu ketika dahulu turut memberi tempias keuntungan dan mempengaruhi gerai-gerai peniaga yang berada di kawasan sekitar.

“Suasana dahulu dengan sekarang memang agak ketara perubahannya, kalau ada event biasanya kedai saya ini tak menang tangan dari pagi sampai ke malam.

“Tapi selepas pandemik memang pengunjung pun berkurang, orang yang meniaga di kawasan ini pun pendapatan mereka ada susut sedikit,” ujarnya.

Justeru, Wan Mohd Hanif berharap agar Istana Budaya dapat kembali bangkit dari impak pandemik Covid-19 dan mencari alternatif dalam memeriahkan semula bangunan bersejarah itu.

Azeera Rashid. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2022.

Manakala seorang pekerja swasta, Azeera Rashid, berkata, negara ketika ini sedang melangkah ke fasa endemik dan peluang itu seharusnya memberi kelebihan kepada Istana Budaya dalam merencanakan lebih banyak program-program kesenian.

Selain itu, katanya, pihak Istana Budaya juga sudah boleh mengatur lebih banyak aktiviti-aktiviti menarik sempena pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

“Dahulu banyak aktiviti di sini terutamanya pada hujung minggu, ada banyak booth yang dibuka, sekarang nampak agak suram lebih-lebih lagi selepas Covid-19.

“Sekarang pun kita dah nak masuk fasa endemik jadi aktiviti dah boleh mula, tak lama lagi pelancong pun dah boleh datang mungkin pihak Istana Budaya dapat lah fikir macam mana nak buat meriah macam sebelum ini,” katanya.

Tada 15 Mac, Program Istana Budaya 2022 dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri.

Panggung berprestij itu akan dihiasi dengan 12 program menarik daripada genre berbeza melibatkan program terbitan Istana Budaya dan produksi luar yang merangkumi produk teater, muzik dan tari.

Program terbitan Istana Budaya terdiri daripada Konsert Lagu Rakyat, Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Peter & The Wolf and The Carnival of the Animals, Tari Sulur dan Nakasari, Ratu Kuning Langkasuka dan teater muzikal Jula Juli Bintang Tujuh.

Sementara program terbitan produksi luar pula ialah Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun, Konsert Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab, 5th Malaysia Golden Global Awards (MGGA), Thunder – Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022 serta tiga teater iaitu Antara Tiga, Tanjong dan Teater Muzika Moyang Salleh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast