BEIJING – Sebuah pesawat Boeing 737-800 China Eastern Airlines dengan 132 orang penumpang terhempas di pergunungan di selatan China selepas turun secara mengejut.
Media-media melaporkan tiada tanda-tanda ada mangsa yang terselamat.
Boeing berkata, syarikat itu bersedia membantu China Eastern dan sedang berhubung dengan pengawal selia keselamatan pengangkutan Amerika Syarikat (AS) berhubung insiden itu.
Ketika nahas, pesawat itu dalam penerbangan dari bandar barat daya Kunming, ibu kota wilayah Yunnan ke Guangzhou, ibu kota Guangdong yang terletak bersempadan dengan Hong Kong.
China Eastern berkata, nahas berlaku apabila pesawat itu turun pada 31,000 kaki seminit.
Data itu diperoleh menerusi laman web pengesan penerbangan FlightRadar24.
Tiada warga asing dilaporkan berada dalam pesawat malang tersebut.
Pasukan mencari dan menyelamat sudah dikerah ke lokasi kejadian sebaik sahaja maklumat nahas diketahui.
Kakitangan China Eastern sedang membuat persiapan untuk saudara mara yang ingin pergi ke lokasi nahas esok, kata Yan.
Pesawat itu, dengan 123 penumpang dan sembilan anak kapal, terputus hubungan di bandar Wuzhou, kata Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dan syarikat penerbangan itu.
Ia berlepas dari Kunming pada jam 1.11 tengah hari waktu tempatan, menurut data FlightRadar24 dan sepatutnya mendarat di Guangzhou pada 3.05 petang.
Pesawat yang berusia enam tahun itu telah terbang pada ketinggian 29,100 kaki.
Hanya lebih dua minit dan 15 saat kemudian, data menunjukkan ia telah menurun kepada 9,075 kaki.
Dua puluh saat kemudian, jejak ketinggian terakhirnya ialah 3,225 kaki.
Media memetik pegawai penyelamat sebagai berkata, pesawat itu telah hancur dan menyebabkan kebakaran dan memusnahkan pokok-pokok buluh.
Akhbar People’s Daily memetik seorang pegawai jabatan bomba wilayah yang berkata, tiada tanda-tanda mangsa yang hidup.
China Eastern telah menghentikan operasi pesawat 737-800 sejurus selepas nahas itu, lapor media kerajaan.
Syarikat itu memiliki 109 pesawat tersebut, menurut FlightRadar24. – Agensi