Pegawai penguatkuasa KKM Pulau Pinang melakukan Operasi Larangan Merokok di sekitar George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Sebanyak 996 kompaun atas kesalahan merokok di tempat larangan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh Pulau Pinang sejak 1 Januari lalu hingga semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Datin Dr. Azizah Abd Manan berkata, tempat makan dan kedai berhawa dingin merupakan kawasan yang kerap dikesan perokok melakukan kesalahan itu selain pusat membeli belah serta lapangan terbang.

Jelas beliau, berdasarkan jumlah kompaun pihaknya mendapati masih ramai dalam kalangan rakyat di negeri ini tidak patuh dan mungkin tidak faham tentang kepentingan larangan merokok di kawasan awam.

“Secara keseluruhan sebanyak 1,182 kompaun dikeluarkan dalam operasi bersepadu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dalam tempoh sama dan kesalahan merokok di tempat larangan merekodkan kompaun tertinggi iaitu sebanyak 996 notis.

Kedai makan antara lokasi kerap perokok dikompaun.

“Tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 kerana merokok di tempat larangan dan Peraturan 12 PPKHT 2004 atas kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi peraturan ditetapkan dengan tidak merokok di kawasan larangan merokok bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa selain ia melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok,” katanya pada sidang media Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di sini, hari ini.

Terdahulu, pegawai serta anggota KKM Pulau Pinang melakukan operasi larangan merokok di sekitar Jelutong, Jalan Perak dan Lorong Kulit.

Rokok turut dirampas untuk sebagai bahan bukti dalam operasi tersebut.

Mengulas lanjut Dr. Azizah berkata, pihaknya akan mempertingkatkan lagi operasi selain akan mengadakan lebih banyak promosi kesedaran mengenai bahaya merokok terutamanya terhadap orang lain yang bukan perokok.

“Tabiat merokok adalah penyakit yang disebabkan ketagihan dan mereka sebenarnya boleh dirawat melalui klinik berhenti merokok yang disediakan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak 554 kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 di negeri dalam sejak 1 Januari hingga 20 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, kebanyakan kompaun dikeluarkan di daerah Seberang Perai Utara  iaitu sebanyak 178 dan diikuti daerah Timur Laut (177) dan Seberang Perai Tengah (114).

“Antara kesalahan yang dilakukan pula membabitkan gagal mendaftar masuk premis menerusi aplikasi MySejahtera, gagal memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan lain-lain,” tegas Dr. Azizah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast