KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti harus dibentangkan pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang sebagaimana dipersetujui bersama sebelum ini.
Ahli Jawatankuasa Teknikal RUU Undang-Undang Lompat Parti, Datuk Seri Wlfred Madius Tangau secara peribadi terkejut dengan makluman dan laporan media yang RUU itu akan ditangguh pembentangannya.
Jelasnya, perkara iniĀ bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bulan lalu dan juga semangat Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malah, Wilfred berkata, keputusan sepihak untuk menangguhkan pembentangan kini menimbulkan pelbagai persoalan dan kerisauan mengenai nasib RUU ini selepas ini.
”Mengapa keputusan penangguhan ini dibuat secara tiba-tiba tanpa alasan yang kukuh? Betulkah keseluruhan Kabinet tidak bersetuju dengan kandungan RUU ini? Apakah Kabinet kepimpinan Perdana Menteri tidak bersetuju dari awal lagi atau membuat pusingan baru-baru ini? Peruntukan mana yang menjadi halangan kepada Kabinet daripada meneruskan pembentangan di Parlimen pada sidang semasa?
”Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Perdana Menteri perlu memberikan jawapan kepada keputusan menangguhkan pembentangan RUU ini. Jika tidak, saya bimbang kepercayaan rakyat ke atas kerajaan pimpinan perdana menteri dan juga ke atas PH, yang menandatangani MoU ini, akan tergugat dan terjejas. Rakyat akan menganggap kerajaan semasa flip flop dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, sebagai pihak yang menandatangani MoU dengan perdana menteri, beliau dan PH bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjawab isu yang sama.
”Kita tiada pilihan melainkan meneruskan keputusan membentangkan RUU ini pada sidang semasa. Oleh itu, adalah wajar sidang Parlimen semasa disambung untuk tujuan pembahasan dan diluluskan.
”Kita boleh melakukan penambahbaikan seterusnya selepas dikuatkuasakan. Kami bimbang sikap dolak-dalik atau ini tidak akan membantu merealisasikan usaha mewujudkan sebuah akta bagi menghapuskan budaya lompat parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15,” ujarnya. – MalaysiaGazette