Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan (tengah) semasa membuat tinjauan di sebuah kilang di Melaka hari ini.

MELAKA – Kedegilan sebuah kilang melebur logam terus beroperasi secara haram walaupun sudah dikenakan 32 kompaun dan notis sejak tiga tahun lalu berakhir apabila dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik hari ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata, langkah akhir itu terpaksa diambil terhadap premis terletak di Taman Teknologi Cheng itu kerana terus mendapat aduan daripada penduduk dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Menurutnya, kilang yang telah dikenakan 23 kompaun keseluruhan bernilai RM46,000 sejak 2019 sehingga Februari lalu itu turut didapati melanggar arahan sitaan operasi pembakaran bahan api.

Jelasnya, arahan itu dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka di bawah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) kerana didapati gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis di bawah Peraturan 5 dan Peraturan 7, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kedegilan kilang peleburan aluminium ini melanggar 23 kompaun dan sembilan notis terhadapnya sejak 2019 selain aduan daripada SPRM Putrajaya mengatakan tiada tindakan dikenakan membuatkan kita terpaksa mengambil langkah akhir memotong bekalan elektrik hari ini.

“Antara kesalahan yang dikesan sebelum ini adalah beroperasi dua kali ganda daripada syarat lesen menyebabkan pencemaran udara dan menimbulkan masalah kacau ganggu kepada masyarakat sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi bersepadu di kilang terbabit di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JAS Melaka Rosli Osman.

Mengulas lanjut Zaidi berkata, dengan tindakan terakhir itu, kilang operasi peleburan aluminium aloi sekunder dengan kapasiti bulanan 30 hingga 35 metrik tan terbabit akan diarahkan tutup serta merta setelah lesen operasinya dibatalkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMM) pada 22 Februari lalu.

“Malah, kilang ini juga didapati gagal menyediakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) ditetapkan JAS selain pelanggaran syarat-syarat berkaitan pelan merancang bagi kegunaan bangunan.

“Saya juga akan minta Jabatan Imigresen melakukan siasatan terhadap semua pekerja kilang di sini yang dipercayai menggajikan pekerja warga asing,” katanya.

Tambahnya, JAS Melaka juga sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap kilang terbabit bagi kesalahan di bawah Peraturan 29, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast