KABUL: Taliban menarik balik pengumuman pembukaan sekolah menengah untuk kanak-kanak perempuan.
Katanya, sekolah akan tetap ditutup sehingga rancangan dirangka mengikut undang-undang Islam siap.
Guru dan pelajar dari tiga sekolah menengah di sekitar ibu kota Kabul berkata, gadis-gadis telah kembali ke kampus dengan teruja pada pagi Rabu, tetapi diarahkan pulang.
Mereka pulang dengan linangan air mata.
“Kami semua kecewa dan benar-benar putus asa apabila pengetua memberitahu kami, dia juga menangis,” kata seorang pelajar yang tidak dinamakan atas sebab keselamatan.
Ketika kali terakhir Taliban memerintah Afghanistan dari 1996 hingga 2001, ia juga mengharamkan wanita mendapat pendidikan dan bekerja.
Kementerian Pendidikan Afghanistan minggu lalu mengumumkan semua sekolah untuk semua pelajar, termasuk perempuan, akan dibuka di seluruh negara pada hari Rabu selepas sekatan berbulan-bulan terhadap pendidikan untuk kanak-kanak perempuan sekolah menengah.
Pada petang Selasa, jurucakap Kementerian Pendidikan mengeluarkan video mengucapkan tahniah kepada semua pelajar kerana kembali ke kelas.
Bagaimanapun pada hari Rabu, kementerian itu mengeluarkan notis memaklumkan sekolah untuk perempuan akan ditutup sehingga rancangan dibuat mengikut undang-undang Islam dan budaya Afghanistan, menurut Bakhtar News, sebuah agensi berita kerajaan.
“Kami memaklumkan semua sekolah menengah perempuan dan sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar perempuan kelas enam ke atas akan diberi cuti sehingga arahan seterusnya,” kata notis itu.
Jurucakap pentadbiran Taliban mengesahkan kepada Reuters bahawa sekolah-sekolah perempuan di Kabul ditutup namun tidak mengulas lanjut. – Reuters (https://www.reuters.com/world/asia-pacific/taliban-orders-girl-high-schools-remain-closed-leaving-students-tears-2022-03-23/)