Dr. Nurul Ain memeriksa tekanan darah seorang penduduk yang hadir ke program pemeriksaan kesihatan anjuran CDERT Ketereh.

KOTA BHARU – Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Ketereh, Kelantan menganjurkan program pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk dalam Parlimen Ketereh.

Program itu diadakan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke-70 yang disambut hari ini.

Menurut Ketua Kompeni Perubatan CDERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Nurul Ain Razali, program khidmat masyarakat yang diadakan semalam itu dianjurkan bersama Kompeni Perubatan CDERT Ketereh dan Pejabat APM Kota Bharu dengan kerjasama Klinik Haji Razali & X-Ray dan Pusat Cermin Mata One Vision.

Katanya, program itu kali kedua dianjurkan CDERT Ketereh selepas kejayaan program seumpama itu yang kali pertama diadakan ketika Karnival APM Bersama Komuniti pada 2019.

“Program diadakan di hadapan Pasar Melor melibatkan pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan diabetis, BMI dan pemeriksaan kolesterol dan fungsi buah pinggang bagi individu warga emas.

“Seramai 20 pegawai dan anggota terlibat iaitu doktor, pembantu perubatan dan sukarelawan CDERT.

“Program sehari ini telah memberi manfaat kepada sekitar 300 pengunjung yang rata-ratanya penduduk tempatan yang singgah ketika membeli-belah di Pasar Melor,” katanya kepada media, hari ini.

Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan (tiga dari kanan) menyaksikan seorang Pembantu Perubatan melakukan pemeriksaan anggota APM.

Menurut Dr. Nurul Ain, antara yang menjadi tumpuan pengunjung ialah pemeriksaan gula dalam darah (diabetes) dan pemeriksaan tekanan darah.

Katanya, program itu dirasmikan Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kelantan, Kol. (PA) Zainuddin Hussin.

Turut hadir, Komander CDERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan; Ketua Kompeni CDERT Melor, Mejar Bersekutu (PA) Wan Muhammad Faisal Wan Zin; Pegawai Pertahanan Awam Kota Bharu, Kapten (PA) Md. Fadir Md. Nor; Pegawai-pegawai APM dari Pasukan CDERT-APM Ketereh, Pejabat APM Negeri dan Daerah.

Sementara itu, menurut Nik Saiful Adli, program bersama komuniti sedemikian telah menjadi sebahagian daripada aktiviti pasukan CDERT Ketereh, lebih lagi pasukan itu merupakan satu-satunya pasukan CDERT di Malaysia yang ada pasukan perubatan.

“Ianya akan menjadi aktiviti rutin pasukan, selain daripada rondaan cegah Covid-19 melalui program Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) yang dijalankan sejak setahun lalu.

“Program sebegini memperkenalkan fungsi sebenar APM kepada masyarakat, bukan sekadar menangkap ular atau operasi menyelamat di musim banjir semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette