KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Pakistan ditemukan lemas di Sungai Klang berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Tun Sambanthan di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.09 tengah hari tadi dan seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi telah dimaklumkan pihak polis terdapat dua lelaki warga Pakistan lemas di sungai berkenaan.
“Operasi pencarian dilakukan oleh pasukan bomba bersama Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuala Lumpur di sekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang menggunakan empat kayak dan dua peralatan menyelam,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, jabatan bomba dalam kenyataan petang tadi menyebut mayat pertama ditemukan pada 4.07 petang berhampiran Masjid Jamek Petaling pada jarak enam kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mangsa kedua pula dijumpai pada 4.10 petang di aliran sungai Lorong 4, Kampung Tengah iaitu 12 km dari lokasi dilaporkan hilang dengan bantuan pasukan bomba dari BBP Puchong,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi yang turut disertai Unit PPDA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu tamat pada 5.32 petang.
— BERNAMA