KUALA LUMPUR – Prestasi Indeks Pelopor (IP) kekal stabil pada 110.1 mata pada Januari 2022 dengan IP tahun ke tahun meningkat 0.02 peratus disokong terutamanya oleh bilangan syarikat baharu didaftar.

Melihat kepada perspektif bulan ke bulan, IP menyusut 1.2 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Disember 2021, menurut Jabatan Perangkaan.

Penurunan ini terutamanya dipengaruhi oleh import benar semi konduktor (-0.6%) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-0.5%).

IP yang menunjukkan hala tuju ekonomi Malaysia kekal melebihi 100.0 mata dan memberi isyarat momentum ekonomi yang lebih perlahan pada bulan-bulan akan datang.

Prospek tersebut selari dengan pembukaan semula sepenuhnya sempadan antarabangsa apabila negara memasuki fasa endemik di samping pelaksanaan gaji minimum baharu kepada RM1,500 yang dijangka meningkatkan penggunaan dan menyokong permintaan domestik.

Walau bagaimanapun, konflik geopolitik dan sekatan pergerakan di bandar-bandar utama China menjejaskan prospek ekonomi jika kedua-dua insiden berlarutan.

Penyebaran yang cepat Varian Omicron dijangka tidak memberi kesan yang ketara terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

Melihat kepada keadaan ekonomi, Indeks Serentak (IS) meningkat 5.5 peratus kepada 117.4 mata pada Januari 2022 (Januari 2021: 111.3 mata).

Trend yang sama juga ditunjukkan oleh perbandingan bulan ke bulan yang mencatatkan 2.5 peratus (Januari 2022: 117.4 mata; Disember 2021: 114.5 mata).

Kenaikan tersebut didorong oleh peningkatan dalam kapasiti penggunaan di sektor pembuatan (2.7%), Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.2%) dan Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (0.1%). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast