KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras merampas 460 kotak arak pelbagai jenama termasuk kenderaan bernilai RM338,720.37 dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Alfa Impian Balakong, semalam.

Komander Briged Tengah, Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, dalam serbuan sama, PGA berjaya menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh berumur 30 hingga 41 tahun.

“Serbuan yang dijalankan telah berjaya merampas 460 kotak atau 5,520 botol arak pelbagai jenama serta dua motovan jenis Toyota Hi Ace dan Nissan Urvan dan sebuah kereta Honda Jazz.

Antara kenderaan pelbagai jenis yang digunakan sindiket untuk menyeludup arak tidak bercukai yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Alfa Impian Balakong, semalam.

“Turut dirampas 224 setem kastam disyaki tiruan, dan tiga telefon bimbit disyaki digunakan dalam menjalankan aktiviti pengedaran arak tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, serbuan ini telah berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran arak tidak bercukai di sekitar Lembah Klang.

“Sindiket ini menjadikan premis di kawasan industri sebagai stor penyimpanan arak tidak bercukai,” katanya.

Katanya lagi, polis menyeru masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast