Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim berangkat ke Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Taat Setia 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor. Foto: HRH Crown Prince of Johor

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang baharu bahawa tugas mereka sudah bermula ketika mengangkat sumpah jawatan pada hari ini.

Baginda bertitah, Exco-Exco perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji-janji atau ikhtiar yang telah dibuat dalam kempen pilihan raya mengikut portfolio masing-masing serta sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah.

“Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tugas anda sudah pun bermula dari saat ini. Kepentingan negeri dan rakyat mesti diutamakan. Bekerjasamalah dengan semua pihak.

“Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.

“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco-Exco.

“Semua Exco sudah diberikan portfolio masing-masing. Jalankan tugas anda dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain,” titah Baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast