PEKAN – Dua lelaki Orang Asli terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan petang tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pemandu dan penumpang yang dikenali sebagai Hasyim A/L Amin, 29, dan Dolah A/L Muhtar, 39, itu telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati kedua-dua sahabat itu terlibat dalam nahas ketika dalam perjalanan dari arah Chini hendak menghala ke arah Kuantan.
“Setibanya di lokasi kejadian mangsa telah terbabas masuk ke laluan bertentangan kemudian bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan iaitu dari arah Kuantan menghala ke Chini.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang kereta Kancil telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang yang bertembung mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Chini bagi mendapat rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Zaidi, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu yang disyaki memandu secara melulu sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Pihaknya juga membuat pemeriksaan Saman COPS dan mendapati satu saman pandu laju oleh pemandu pacuan empat roda dan mangsa juga pernah dikenakan dua saman kerana tiada lesen memandu.
“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pekan dan proses bedah siasat dilakukan sejurus mendapat keputusan ujian calitan Covid-19,” katanya.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette