KUALA LUMPUR – “Saya amat mengharapkan UMNO bukan setakat memberi peluang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sehingga 2023 tetapi sepenggal lagi sehingga 2028 jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU-15.”
Itu kata penganalisis politik, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang berpendapat, ia perkara yang perlu diutamakan bukannya mendesak supaya Parlimen segera dibubarkan dan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) dipercepatkan.
Katanya, semua telah bersetuju terutama rakyat dan seharusnya perkara utama yang perlu dibangkitkan sekarang adalah membantu rakyat selepas zaman endemik, memperkasakan ekonomi rakyat dan menjaga kepentingan rakyat, bukan merebut kuasa menjadi pemimpin UMNO bagi laluan menjadi Perdana Menteri.
“Kenapa saya berkata sedemikian? Pertama, bermula Ogos 2021 sehingga 2023 adalah tempoh yang amat pendek kepada seorang Perdana Menteri untuk menunjukkan kebolehan, wibawa dan kredibilitinya.
“Jadi, berikanlah tempoh sepenggal lagi. Saya yakin Ismail Sabri pasti membuktikan benar-benar kemampuannya untuk mengemudi negara ke arah lebih baik. Ismail Sabri tidak banyak berpolitik berbanding yang lain,” katanya.
Beliau yang merupakan Profesor di Pusat Pengajian Teras (PPT) Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu menjelaskan, keduanya, Perdana Menteri yang tidak banyak cakap tetapi banyak buat kerja.
“Inilah yang kita mahu. Ingat kata-kata ini, rakyat melihat apa yang kamu buat bukan apa yang kamu cakap. Cakap hebat macam mana pun jika cakap tak serupa bikin, tiada gunanya.
“Ketiga, dalam kalangan pimpinan UMNO yang menjadi Perdana Menteri, setakat ini Ismail Sabri adalah antara yang kelihatan bersih dan berintegriti. Kebelakangan ini agak sukar mencari pemimpin yang kelihatan bersih.
“Keempat, anak Kampung Bera ini berjiwa rakyat. Begitu mengambil berat hal ehwal Melayu dan Bumiputera,” kata beliau.
Paling berani, katanya, pada 6 Disember 2021, Ismail Sabri melancarkan satu program khusus yang dipanggil program Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) menerusi tujuh aktiviti pertumbuhan ekonomi utama iaitu pertanian dan komoditi, ekonomi digital, halal dan makanan, kewangan Islam 2.0, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan serta pelancongan.
Bumiputera dijadikan sasaran utamanya termasuk penyampaian perkhidmatan, modal insan, pemilikan kekayaan, keusahawanan, ekonomi korporat, Tanah Rizab Melayu, wakaf dan adat itu ditonjolkan, seolah inilah wajah Dasar Ekonomi Baharu yang sebenar.
Semua ini selaras dengan Perlembagaan Negara. Sebelum ini, kata beliau, ada pemimpin yang takut-takut menyebut perkataan Melayu atau Bumiputera, malah ada yang sanggup mencairkan aset Bumiputera.
“Inilah yang saya harapkan, negara kita memerlukan pemimpin berani berkata benar walaupun pahit dan berintegriti.
“Begitu juga ketika pembentangan Belanjawan 2022, dengan berani Bumiputera ditonjolkan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa bukan Bumiputera, yang merasakan mereka dianaktirikan walaupun hakikatnya tidak begitu dan tindakan ini mendapat pujian daripada pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai.
“Syukurlah, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan halangan, Ismail Sabri masih berani membuat banyak perkara betul yang melihat ke depan untuk jangka pertengahan dan jangka panjang, di mana ini benar-benar diperlukan dari seorang Perdana Menteri yang negaranya sedang berdepan dengan krisis kesihatan, ekonomi dan politik,” ujarnya.
Kelima, menurut Dr. Mohd Ridhuan, kewibawaan Ismail Sabri bukan bermula sejak dilantik menjadi Perdana Menteri, tetapi sejak menganggotai dan menjadi pemimpin UMNO, seterusnya menjawat beberapa jawatan kabinet.
Berpengalaman luas sebagai anggota Kabinet apabila menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2008, kemudian dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (2009), sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013) kemudian sebagai Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2015).
Nama Ismail Sabri melonjak ketika menjadi Menteri Kanan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang diberi peranan Menteri Penyelaras Covid-19 serta menjadi jurucakap kerajaan. Beliau cukup matang bertindak dalam menghadapi krisis.
“Jolokan Pak Long Mail, malah kanak-kanak turut mengenalinya sebagai Atok Mail. Begitu hebat sekali seorang pemimpin yang berjiwa rakyat sehingga dapat dirasai oleh seluruh rakyat negara ini.
“Jelasnya, dalam kerajaan PN sebelum ini, rakyat dapat melihat betapa jauh jurang perbezaan kualiti dan krebiliti Ismail Sabri seorang menteri UMNO dengan menteri daripada kerajaan diterajui PH.
“Ismail Sabri berjaya merakyatkan kepemimpinannya berkeperibadian tinggi, dan sangat berkredibiliti. Banyak yang boleh ditulis mengenai Ismail Sabri,” kata Ridhuan Tee lagi.
Dalam kata lain, menurut beliau, sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri bermula Ogos 2021, beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang berani dan pro aktif, meskipun berdepan dengan ancaman ketidakstabilan politik melalui beberapa inisiatif yang telah diumumkan.
Paling ketara, sebagai negarawan berjiwa besar, Ismail Sabri, sejurus dilantik Perdana Menteri telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) demi kestabilan dan masa depan negara.
Ini merupakan satu pembaharuan besar dan keberanian dalam mengurus negara ini ketika krisis dan pandemik serta pemimpin yang sentiasa memikirkan soal masa depan berhadapan dengan krisis masa kini.
“Saya tidak mahu menyentuh soal gagasan Keluarga Malaysia kerana telah banyak saya sentuh sebelum ini. Akhirnya, khas untuk pemimpin UMNO, jika Perdana Menteri lain boleh begitu lama dalam jawatan kenapa Ismail Sabri perlu dihadkan kepada 2023.
“Ingat! susuk ini bukan asing bagi rakyat Malaysia. Kelibatnya, sudah bersemadi dalam jiwa rakyat.
“Negara dan rakyat memerlukan pemimpin yang bersih dan berintegriti, bukan pemimpin yang penuh kontroversi berkaitan isu-isu salah guna kuasa, salah laku dan korupsi,” katanya. – MalaysiaGazette