Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja seberat 1.33 tan dengan anggaran nilai RM 3.33 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2022.

SHAH ALAM – Ganja seberat 1.33 tan bernilai RM3.33 juta dirampas menerusi empat serbuan menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Pengarahnya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket berkenaan ditumpaskan melalui  serbuan yang lakukan di Subang Jaya, Rawang dan Semenyih pada Khamis lalu.   

Sindiket yang mulai aktif pada tahun ini mendapat bekalan ganja daripada Thailand untuk diedarkan di sekitar Selangor dan Johor.

“Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak pertemgahan Januari 2022.Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 2.5 juta penangih dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Menurut Ayob Khan, ketika serbuan seramai empat suspek berumur 23 hingga 46 tahun dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan telah ditahan.

“Saringan awal mendapati seorang suspek positif dadah dan mempunyai rekod lampau,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak sindiket itu membawa masuk bekalan dadah melalui jalan tikus daripada sempadan Thailand.

Katanya lagi, beberapa kereta pelbagai jenama turut disita ketika serbuan membawa kepada jumlah rampasan dan sitaan sebanyak RM3.7 juta.

Ayob berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya  berkaitan Pelucutan Harta 1988 dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 Mac lalu.-MalaysiaGazette