Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) adalah pemilik sepenuhnya data dalam aplikasi Covid-19, MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM telah mendapat permintaan daripada banyak pihak untuk mengunakan data pengguna dalam aplikasi tersebut bagi tujuan komersial.

Namun Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, pihaknya tidak akan membenarkan data dalam MySejahtera tidak digunakan untuk tujuan selain daripada Covid-19 dan kesihatan awam.

“Ada banyak pihak yang telah minta KKM supaya dapat guna MySejahtera untuk tujuan komersial. Saya tidak benarkan. Sebab data itu hanya boleh diguna pakai untuk tujuan Covid dan untuk tujuan kesihatan awam,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai tahap keselamatan data pengguna yang tersimpan dalam MySejahtera berikutan aplikasi itu kini dikendalikan oleh syarikat MySj Sdn. Bhd.

Banyak pihak terutama pemimpin pembangkang mempersoalkan tahap keselamatan data yang terkandung dalam pangkalan MySejahtera yang dibangunkan oleh syarikat KPISoft Malaysia Sdn Bhd.  secara percuma melalui tangungjawab sosial (CSR).

Menurut Khairy, walaupun MySj telah mengambilalih MySejahtera daripada KPISoft namun aplikasi dan data MySejahtera adalah milik penuh KKM.

Beliau memberi jaminan syarikat MySj hanya mengurus dan menyelenggara hal berkaitan software sahaja.

“MySJ adalah syarikat yang mana pemilik saham sama dengan  Entomo. Entomo sejak awal mengendalikan MySejahtera. Ini lebih kepada kesinambungan. Sebab mereka yang membangunkan aplikasi daripada awal.

“Dan sekarang ini mereka memberikan perkhidmatan software. Kita cuma sambung perkhidmatan mereka untuk satu tempoh masa yang akan dimuktamadkan.

“Pemilik Mysejahtera adalah KKM, pemilik data MySejahtera adalah KKM. Mereka (MySJ) cuma menyelenggara software dan memberi perkhidmatan,” tegas Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar selepas melancarkan MyChampion baru-baru ini.

Tedapat lebih 38 juta maklumat rakyat Malaysia seperti alamat, nombor telefon dan lain-lain tersimpan dalam aplikasi tersebut.

MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Pada masa yang sama, ia membantu KKM mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan tak pernah jual MySejahtera, KKM pemilik utamanya – KJ