Sultan Muhammad V

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini menzahirkan rasa bangga dengan prestasi kewangan kerajaan negeri pada 2021 dan tahun sebelumnya yang menunjukkan pengukuhan dan berdaya tahan walaupun dalam ekosistem ekonomi yang lebih mencabar akibat pandemik COVID-19.

Sultan Muhammad V bertitah pada pengamatan baginda, kerajaan Kelantan menerusi dasar kewangan yang komprehensif telah berjaya mengawal perbelanjaan mengurus berdasarkan keutamaan perbelanjaan yang akan memberi impak terus kepada rakyat melalui projek berpaksikan rakyat seperti pembinaan atau pembaikan Rumah Dhuafat, bantuan Al-Musa’adah dan Rumah Mampu Milik di Daerah Badang.

“Di kesempatan ini, beta ingin menzahirkan dan merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan beta kerana telah berjaya mencapai prestasi Akaun Semasa Kerajaan Negeri Tahun 2021 dengan mencatat lebihan RM47.61 juta yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.17 juta atau lebih 4.77 peratus berbanding tahun 2020.

“Pencapaian ini telah dicatatkan selama lima tahun berturut-turut,” titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja yang dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di sini hari ini.

Sultan Muhammad V bertitah peningkatan perbelanjaan pembangunan setiap tahun melebihi RM152 juta memberikan gambaran bahawa kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang bagi perbelanjaan modal untuk kesejahteraan rakyat terutama kepada projek infrastruktur dan kemudahan asas.

“Pembangunan infrastruktur yang sempurna merupakan nadi kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri. Beta menaruh harapan dengan adanya pembinaan seperti Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dapat mewujudkan rangkaian lebuh raya menyeluruh yang bertindak sebagai tulang belakang kepada sistem pengangkutan Wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut berharap agar kerajaan dapat memperkasakan usahawan-usahawan dalam kategori perniagaan dari rumah dan mikro dengan menyediakan lebih banyak bantuan seperti bantuan peralatan, kursus bimbingan dan khidmat nasihat.

“Para belia digalakkan mengambil peluang yang ada dengan perkembangan teknologi berasaskan Internet sebagai platform niaga.

“Sehubungan dengan itu, beta berharap penubuhan Perbadanan Digital Kelantan akan dapat memacu pertumbuhan industri ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dan digital pada masa yang sama dapat membantu golongan usahawan ini mengembangkan perniagaan mereka,” titah baginda.

Persidangan bersambung 9 pagi esok. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast