Menteri Kanan Pendidikan, Datpada sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Teknik Melaka, Bukit Piatu hari ini.

MELAKA – Seramai 85,700 daripada 407,097 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dikesan ‘tercicir’ menduduki sepenuhnya ujian berkenaan berakhir hari ini sejak bermula 8 Februari lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, angka 21.1 peratus itu adalah mereka tidak dapat menduduki antara satu hingga tiga kertas peperiksaan disebabkan Covid-19 atau menjadi mangsa banjir.

Sehubungan itu beliau berkata, kesemua mereka akan menduduki peperiksaan sesi kedua bermula 5 April sehingga 19 Mei ini.

“Data terkini yang saya dapat dari Lembaga Peperiksaan petang ini, calon yang tak dapat duduki SPM sepenuhnya adalah seramai 85,700 calon iaitu 21.1 peratus daripada keseluruhan 407,097 calon.

“Jadi mereka akan mula menduduki peperiksaan sesi kedua bermula pada 5 April sehingga 19 Mei ini namun ia bukanlah semua kertas kerana mungkin ada yang tertinggal satu, dua atau tiga kertas.

“Ianya disebabkan sama ada mereka positif Covid-19, dikuarantin atau mungkin terkesan dengan banjir yang disahkan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Teknik Melaka, Bukit Piatu hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, lebih 50,000 petugas peperiksaan di seluruh negara berjaya memastikan peperiksaan SPM 2021 berjaya dilaksanakan dengan selamat dan teratur.

“Kita juga dapat lihat bagaimana dalam konteks Covid ini ada juga sekolah yang terkesan dengan banjir tetapi umumnya kita dapat laksanakan SPM 2021 dengan baik.

“Seramai l23,885 pemeriksa kertas peperiksaan juga akan memastikan ia diperiksa dengan baik dan keputusan dapat keluar pada masa yang ditetapkan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast