KUALA LUMPUR – Pas memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan cuba menggugat akidah anak-anak Loh Siew Hong apatah lagi menukar agama mereka selain Islam.
Ketua Penerangannya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, sekiranya berlaku, Pas tidak berkompromi malah akan mempertahankan akidah mereka bersama umat Islam di negara.
“Pas memberikan amaran tegas jangan ada mana-mana pihak ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini. Umat Islam di negara ini akan bersatu demi keselamatan akidah mereka.
“Pas menyeru semua ahli politik, cendekiawan, mufti, pendakwah, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam perlu bersatu dan senada dalam isu keselamatan akidah anak-anak Siew Hong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus seorang ibu tunggal untuk mendapatkan tiga anaknya yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
Ketika prosiding permohonan yang dibuat Siew Hong, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta.
Pada 2019, Siew Hong mendapat hak penjagaan sementara tiga anaknya dan hak penjagaan penuh pada Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan JKM tiga kanak-kanak ini diserahkan kepada ibu kandungannya.
“Namun ia hanyalah melibatkan isu penjagaan dan tidak menyentuh isu agama apatah lagi memerintahkan atau membenarkan anak-anak tersebut untuk meninggalkan agama Islam.
“Keislaman mereka atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang mereka lalui,” katanya.
Sebelum ini juga, pada 17 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan semua media arus perdana, media sosial atau apa jua liputan dalam pelbagai bentuk untuk tidak mendedahkan dan menerbitkan nama, sama ada nama asal atau terkini, gambar dan ketiga-tiga remaja kepada Siew Hong. – MalaysiaGazette