KUALA LUMPUR – Orang Melayu yang menyertai DAP masih tetap orang Melayu begitu juga penganut Islam yang menyertai DAP masih lagi merupakan seorang Islam.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang baru dilantik, Syahredzan Johan, 39, berkata, DAP seperti juga UMNO, Pas dan PKR hanyalah merupakan sebuah parti politik.

Beliau menolak label yang diberikan oleh pihak tertentu kepada DAP kononnya parti tersebut berideologikan sekular.

“Orang yang masuk masuk DAP ini masuk parti politik, masuk satu pertubuhan. Jadi ahli dalam pertubuhan itu boleh jadi pemimpin, boleh jadi wakil rakyat.

“Tetapi itu bukan bermakna mereka bukan lagi orang Melayu, atau mereka sudah keluar daripada agama Islam, kalau mereka Melayu dan Islam contohnya. Jadi benda ini patut kita normaliskan.

“Masuk DAP ini sama macam masuk UMNO, masuk Pas, masuk Keadilan, masuk Amanah dan sebagainya. Melayu dalam DAP masih Melayu, muslim dalam DAP masih Islam,” tegas beliau.

Syahredzan yang menyertai DAP pada 2018 berkata, penyertaan orang Melayu dan Islam sebagai ahli DAP tidak seharusnya menjadi isu.

Tambahnya, bukan satu perkara yang bukan mudah bagi orang Melayu menjadi ahli DAP kerana berhadapan dengan tomahan termasuk digelar pengkhianat.

“Bila saya masuk dalam DAP itu bukan main banyak komen, dan masih ada sekarang, bila saya dilantik macam-macam orang bercakap ada yang kata saya sudah murtad.

“Ada yang kata saya ini macam Buang dalam Sarjan Hasan misalnya, pengkhianat dan sebagainya. Bukan saya seorang yang menerima tohmahan seperti ini tetapi ramai lagi orang Melayu yang terima, dalam DAP.

“Contohnya YB Rara (Young Syefura Othman) tiap-tiap hari ada sahaja komen sumbang kat FB dia. Pada hal benda itu tak ada kena mengena dengan politik pun apa yang dia pos,” kata Syahredzan.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Skop MG dikendalikan oleh Haslina Ar Kamaludin bertajuk ‘Kenapa saya pilih DAP’ malam tadi.-MalaysiaGazette