KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki warganegara tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes samun seorang wanita warga emas di Bandar Tun Razak di sini pada 26 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, salah seorang daripada lelaki itu ditahan awal pagi pada 27 Mac lalu  dan semakan mendapati suspek berumur 35 tahun dan memiliki 18 rekod lampau.

Suspek direman selama enam hari bermula 27 Mac lalu sehingga 1 April ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Susulan dari tangkapan itu, pada 28 Mac lalu kira-kira pukul 11 pagi, polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lagi lelaki warganegara berumur 29 tahun dan turut memiliki 18 rekod lampau.

Suspek itu turut direman selama tujuh hari bermula 29 Mac 2022 hingga 4 April depan.

“Polis juga berjaya merampas barangan yang dipercayai digunakan dalam kes tersebut beserta wang tunai sebanyak RM5,300,” katanya.

Semasa kejadian, kira-kira pukul 9 pagi, kedua-dua suspek bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam telah menyamun mangsa.

Kejadian itu dirakam oleh penduduk sebelum video berkenaan tular di media sosial.

Dalam pada itu, Muhammad Idzam memberitahu, polis  memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang.- MalaysiaGazette