SHAH ALAM – Kerajaan Selangor bersiap sedia bagi menghadapi musim kemarau antara April hingga Ogos ini susulan cuaca panas itu boleh menjejaskan bekalan air bersih di negeri itu.
Justeru Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengaktifkan Hybrid of River Augmentation System (Horas) bagi menampung keperluan bekalan air yang terjejas sepanjang musim kering.
“Sebab itu laporan meteorologi sangat penting, perbandingan 2012 sebagai contoh yang pernah kita buat catuan, bagaimana trendnya, kita akan lihat pada April dan Mei.
“Kalau perlu kita boleh pam atau alihkan keluar air dari Opak ( (Operasi Pengepaman Air Kolam), Horas atau off river storage kita yang kita ada di Selangor,” katanya.
Terdahulu Amirudin menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Kerjasama Dalam Perkongsian Data Kuantiti dan Kualiti Air Antara Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan Agensi Berkepentingan.
Antara agensi terbabit ialah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS), Air Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, setakat ini, paras air di beberapa empangan masih terkawal dan kekal 100 peratus.
“Hari ini hanya ada satu sahaja yang mencatatkan penurunan dan itu pun penurunannya ada 3 hingga 4 atau pada tahap kekal 100 peratus, satu sahaja mencatatkan penurunan dan satu peningkatan.
“Itu pun pada kadar di antara satu peratus naik dan turunnya, sangat terkawal. Tapi kita sedar mulai Mac sebenarnya kita harus bersedia, April sampai ke Ogos ini.
“Ini adalah tempoh boleh dianggap sebagai musim kering bagi Malaysia. Tapi dengan keadaan perubahan cuaca, kadang-kala kita tidak jangka namun begitu kita bersiap sedia,” katanya. – MalaysiaGazette