KUALA LUMPUR – Kurang tiga hari dari sekarang umat Islam akan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
Kemeriahan bulan puasa kali ini cukup berbeza berbanding dua tahun sebelum ini kerana negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kali ini, Ramadan kali ini lebih bermakna buat umat Islam apabila rukun Islam itu dapat dilaksanakan lebih sempurna dan meriah dalam fasa endemik bermula esok.
Tinjauan MalaysiaGazette sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) hari ini mendapati orang ramai mula kelihatan mula membanjiri pusat beli-belah bagi membuat persediaan menyambut Ramadan walaupun hari bekerja.
Orang ramai mengambil peluang untuk membeli beberapa barang keperluan sama ada pakaian, makanan, kurma mahu pun bahan bacaan agama sebagai persediaan menjelang Ramadan.
Gerai dan khemah bazar Ramadan hanya akan mula didirikan di Lorong TAR bermula Ahad ini dan lazimnya pada awal Ramadan kehadiran pengunjung tidak begitu ramai.
Namun ramai menjangka kehadiran pengunjung bertambah sebaik sahaja negara beralih fasa dari pandemik kepada endemik yang berkuasa kuasa 1 April ini.
Meskipun bazar Ramadan belum bermula namun kunjungan orang ramai ke pasar malam Lorong TAR sejak pukul 5.30 petang tadi seolah-olah kembali normal.
Tidak lagi ‘ketakutan’ melampau terhadap penularan Covid-19 susulan tahap imunisasi rakyat Malaysia sudah lengkap berbanding dua tahun sebelum ini.
Suasana pasar malam Lorong TAR juga kini jauh berbeza di mana tiada lagi nombor giliran diberikan dan tiada lagi pagar penghalang mengelilingi tapak perniagaan penjaja kecil berkenaan. – MalaysiaGazette