KUALA LUMPUR – Minyak wangi keluaran Dexandra mencetuskan fenomena apabila mencatat rekod jualan tertinggi selepas 40,000 botol terjual dalam tempoh sehari selepas melancarkan 15 haruman koleksi terbaharu dikenali Travel Spray.
Ketua Pegawai Eksekutif Dexandra, Safwan Ismail berkata, jualan itu diperoleh pada majlis pelancaran yang diadakan secara virtual dan disiarkan secara langsung menerusi akaun facebooknya baru-baru ini yang berjaya mengumpul dari 5,000 penonton.
Jelas beliau, Travel Spray menjadi rebutan pengguna setia terawal bagi mereka yang menikmati aroma sensasi revolusi Eau De Parfum (EDP) yang baunya tahan lebih lama.
“Terdapat 15 haruman eksklusif dicipta yang mana 10 untuk wanita dan lima lelaki dalam kandungan botol 15ml dengan harga mampu milik. Bersandarkan kepada sambutan tersebut kami optimis Travel Spray akan mendapat sambutan yang baik di kalangan orang ramai.
“Justeru syarikat mengunjurkan jualan mencecah 300,000 botol sebulan dengan nilaian jualan RM40 juta sehingga hujung tahun ini.
“Melalui sokongan dan komitmen 33,000 stokis dan pengedar berdaftar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, nilai jualan tersebut bakal dicapai walaupun negara dalam ekonomi yang sukar kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Safwan menambah, pihaknya telah menjalankan kajian dan pembangunan yang teliti dalam memperkenalkan 15 haruman terbaharu menerusi slogan slim, sleek dan sassy menerusi rekaan botol lebih kecil lebih mudah disimpan dan dibawa ke mana-mana.
“Koleksi kali ini berasaskan aroma alam yang menyegarkan, bunga-bungaan, buah-buahan serta gabungan inspirasi unik bau kayu dan pantai dan adalah hadiah istimewa buat pelanggan lama dan baharu selepas mengharungi tempoh pandemik yang panjang dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.
“Syarikat berjaya mengekalkan jualan dan terus menerima tempahan produk malah menambah bilangan pekerja. Bagaimana pun ada di antara pengedar yang terpaksa menutup kedai dan kiosk yang disewa atas arahan PKP namun mereka bangkit semula apabila jualan dalam talian meningkat .
“Pihak pengurusan turut melancarkan program moratorium Dexandra di mana mereka yang terjejas diberikan bantuan bekalan tanpa bayaran untuk berniaga dan bayaran dibuat selepas produk terjual,” katanya.
Safwan memberitahu, sebanyak 7,300,000 botol terjual Dexandra sejak pandemik Mac 2020 sehingga kini dan oihak bangga dapat membantu orang ramai yang terjejas pendapatan dengan menyediakan platform kepada yang ingin menjadi pengedar sah.
“Syarikat juga berbangga dengan kesetiaan pengedar dan 25 orang daripada mereka telah mencecah jualan satu juta. Bersandarkan keyakinan tersebut, kami yakin Dexandra mampu mendominasi pasaran Asia pada masa akan datang,” ujarnya.
Atas keyakinan tersebut katanya, syarikat telah melabur sebanyak RM2 juta dengan memasang 70 unit papan iklan di sepanjang lebuh raya utama di seluruh negara sejak bulan lalui.
Selain minyak wangi, Dexandra turut menawarkan produk penyegar udara kenderaan, losyen, body mist dan sanitasi tangan sejak beberapa tahun lalu secara berperingkat .Haruman ini juga telah menembusi pasaran Singapura, Indonesia, Thailand, Kemboja, China dan Hong Kong dengan melantik pengedar tunggal di setiap negara. – MalaysiaGazette