Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan pasukan elit penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perlombongan haram, penebangan hutan yang tidak terkawal dan pencerobohan tanah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP)  merekodkan 57 kes penerokaan hutan untuk mengambil hasil hutan dan juga bagi tujuan penerokaan untuk pertanian.

“Semua kes ini telah dibuka kertas siasatan berdasarkan peruntukan kuasa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 pindaan 1993,” katanya ketika menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH- Ketari) tentang tindakan penguatkuasaan bagi mengawal pembukaan tanah hutan simpan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan penguatkuasaan bagi membanteras penjenayah alam sekitar yang melakukan pencerobohan haram dalam hutan simpan.

“Antara usaha yang dilaksanakan ialah dengan memantau  kawasan hutan menggunakan satelit bagi mendapatkan imej terkini.

“Pemantauan secara langsung menggunakan helikopter bagi melihat pembukaan kanopi pokok dalam kawasan hutan turut dilakukan disamping menjalankan risikan dan pemantauan di lapangan oleh kakitangan penguatkuasaan,” katanya.

Selain itu, katanya, pelaksanaan operasi bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Bersepadu Negeri dilakukan bagi mengelak berlakunya penerokaan haram dan pembakaran terbuka di tanah milik kerajaan. – MalaysiaGazette