Mohd. Azizie Wahab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini terhadap 26 pertuduhan menipu urusan pembelian lampin pakai buang membabitkan kerugian RM838,474 enam tahun lalu.

MELAKA – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap 26 pertuduhan menipu urusan pembelian lampin pakai buang membabitkan kerugian RM838,474 enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Azizie Wahab, 38, membuat pengakuan itu sebaik sahaja kesemua 26 pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan satu hingga 26, peniaga lampin pakai buang itu didakwa telah menipu Suriana Hussain, 37, dalam urusan pembelian lampin pakai buang sehingga mendorong mangsa menjelaskan bayaran keseluruhan berjumlah RM838,474.

Pembayaran itu dibuat mangsa di cawangan bank dalam daerah Melaka Tengah menerusi 26 transaksi dengan nilai setiap transaksi antara RM1,610 hingga RM128,960.

Bayaran dibuat ke dalam akaun bank yang didaftarkan di bawah syarikat milik tertuduh iaitu GCR Recovery Enterprise serta AE Premier Niaga antara 19 Mei sehingga 11 Jun 2016.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan jaminan adalah RM260,000.

Peguam Nur Fazrin Ahmad yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan keluarga anak guamnya hanya berjaya mengumpul RM30,000.

Malah, beliau berkata, tidak mengetahui bahawa tertuduh dihadapkan dengan 26 pertuduhan.

“Untuk makluman tertuduh adalah bapa tunggal tiga anak yang berniaga lampin pakai buang juga tidak dapat menjalankan perniagaan dari tarikh ditangkap pada 6 Mac sehingga 16 Mac lalu.

“Tertuduh juga perlu menyara ibu bapa berusia 61 dan 66 tahun yang mengidap sakit kencing manis,” hujahnya.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM78,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 19 Mei sebagai sebutan semula kes.

Pada 11 Mac lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis memberkas seorang lelaki bersama adik perempuannya selepas dipercayai terbabit dalam tujuh aktiviti penipuan termasuk penjualan lampin pakai buang bayi membabitkan kerugian bernilai lebih RM3.29 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast