Polis mengeluarkan sebanyak 183 keping saman atas pelbagai jenis kesalahan lalulintas dalam Operasi Samseng Jalan Khas hari ini di R&R Gambang hari ini

KUANTAN – Polis melepaskan lima das tembakan ke atas 14 suspek yang cuba melarikan diri daripada diperiksa dalam Ops Samseng Jalanan di KM 201 Lebuh Raya Pantai Timur menghala Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam insiden pukul 11 pagi itu anggota unit Peronda Lebuh Raya (EMPV) terpaksa melepaskan tembakan berikutan kesemua suspek lelaki yang menaiki sebuah kenderaan cuba melanggar mereka.

Menurut Kamarul, dua daripada suspek merupakan dalang untuk menyeludup masuk 12 pendatang tanpa izin (PATI) ke Malaysia.

“Sindiket didalangi oleh anak saudara dan bapa saudara dalam cubaan membawa PATI dari Thailand ke Meranti, Tumpat dan Kelantan ke Petaling Jaya.

Superintendan Kamarulzaman Jusoh

“Polis berjaya memberkas kesemua suspek dan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pasport atau dokumen perjalanan atau permit masuk yang sah apabila diminta.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan atau dikenakan kompaun sehingga RM3,000

Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kamarul memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan 183 saman atas pelbagai jenis kesalahan lalu lintas dan menahan tiga lelaki kerana melakukan aksi  berbahaya seperti zig-zag dan aksi superman.

“Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan menyita 14 buah motosikal dan sebuah kereta,” ujarnya. – MalaysiaGazette