Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyahut cabaran debat terbuka yang dilemparkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkaitan isu syarikat Sapura.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau mahu Rafizi untuk mengajak Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sama-sama berdebat dengannya.

“Rafizi nak debat isu Sapura? Boleh. Tapi panggil boss kamu Anwar Ibrahim debat dengan saya. Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia.

“Ini seperti kes Azmin cabar debat dengan saya berhubung FELDA pada Pilihan Raya Negeri Johor dan saya bersetuju dengan syarat Muhyiddin yang debat dengan saya. Azmin boleh debat bersama atau bantu Muhyiddin,” kata Najib.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, Rafizi bersedia untuk berdebat secara terbuka dengan Najib.

Menurut Rafizi, beliau setuju untuk berdebat jika ada mana-mana pihak menjemputnya.

Sementara itu Najib berkata, jika Anwar tidak mahu menyahut cabarannya untuk berdebat maka Rafizi boleh berdebat dengan bekas pegawainya, Isham Jalil.

“Jika Anwar tak ingin debat dengan saya, Rafizi boleh debat dengan Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil yang merupakan pemenang debat piala Perdana Menteri bagi tahun 1991 manakala Rafizi menang tahun 1992,” katanya.

Rafizi yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sebelum ini mencabar Najib untuk berdebat.

“Masuk mahkamah pun dia tak tahu semua, jadi sebaiknya kalau Najib betul-betul yakin beliau tidak bersalah dan yakin pimpinan terbaik untuk negara ini jadi siapalah saya tanpa jawatan politik dan sepatutnya dia sudi berdebat sahaja,” katanya dalam temubual khas SkopMG berjudul Saya Kembali Demi Rakyat.

Sementara itu Isham pula bersedia untuk berdebat sekali lagi dengan Rafizi yang kalah kepadanya dalam Piala Perdana Menteri tahun 1991.

“Dulu Rafizi pernah kalah semi-final semasa saya menang pemidato terbaik debat Piala Perdana Menteri tahun 1991. Tahun 1992 baru dia menang.

“Sekarang mungkin dia nak ulang debat dengan saya. Saya ok dan tunggu saja,” kata Isham.

Namun menurut Isham, tujuan bekas Ahli Parlimen Pandan itu membuat cabaran berdebat hanya kerana mahu menumpang kepopulariti Najib yang masyhur dengan panggilan ‘Bossku’ sahaja.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast