GEORGE TOWN – Industri perhotelan dan pelancongan di Pulau Pinang memerlukan kira-kira 10,000 tenaga pekerja untuk memastikan sektor tersebut dapat beroperasi lancar sekali gus merancakkan ekonomi negara.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, kira-kira 89 hotel yang berdaftar di bawah MAH di negeri ini berdepan situasi kekurangan pekerja hingga menyebabkan operasi mereka terjejas.
Jelas beliau, kebanyakan hotel kini hanya beroperasi dengan kapasiti 50 peratus pekerja susulan kebanyakkan bekas pekerja hotel sudah menceburi bidang lain sepanjang pandemik.
“Industri ini paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kini kami berdepan pula situasi kekurangan pekerja ketika baru mahu bernafas semula.
“Antara kesukaran yang kami alami akibat kekangan pekerja termasuk masalah pengunjung dapat bilik lambat, acara sampingan seperti jamuan dan konvensyen adakalanya terpaksa ditolak.
“Kini kami memerlukan 8,000 hingga 10,000 pekerja tempatan bagi menangani situasi ini. Selain itu, kami juga memerlukan pekerja mahir untuk kembali bekerja dalam industri ini memandangkan sektor perhotelan menunjukkan peningkatan jumlah pelancong selepas pembukaan sempadan,” katanya.
Tony berkata demikian ketika pada sidang media Penang Career Expo, Ekspo Jom Cari Kerja 2022 di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Expo berkenaan akan diadakan di Hotel The Wembley-A St Giles, di sini, pada 9 April dan Hotel Ixora, Prai pada 16 April ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin.
Mengulas lanjut, Tony berkata, pihaknya berharap kemasukan pekerja asing akan membantu sektor lain sekali gus membuatkan anak tempatan memilih untuk bekerja di sektor perhotelan, pelancongan.
“Kita tahu sekarang ini semua sektor berdepan isu kekurangan pekerja dan kita harap kemasukan pekerja asing akan tampung kekurangan mereka kerana sektor perhotelan memerlukan anak tempatan untuk mempromosi keistimewaan serta keunikan negeri.
“Kita jangka industri ini akan pulih sebanyak 20 peratus dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang dan kita perlu kerjasama dengan semua pihak bagi menangani situasi ini,” ujarnya.
Sementara itu, Soon Hin berkata, pempamer pada expo berkenaan terdiri daripada sektor hotel, agensi pelancongan, tempat tarikan dan lain-lain lagi berkaitan pelancongan.
Katanya, expo itu diadakan bagi newujudkan platform pengambilan terbuka kepada pekerja industri bagi meneroka, menilai dan berkomunikasi dengan bakat sedia ada.
“Kita percaya dengan adanya platform ini, banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam industri pelancongan dan hospitaliti dapat diwujudkan khususnya kepada warga Pulau Pinang.
“Cabaran mencari pekerja pada masa ini agak sukar kerana orang ramai sudah mula selesa dengan pekerjaan yang mereka lakukan ketika tempoh pandemik lalu,” katanya. – MalaysiaGazette